
KUALA LUMPUR, 23 September – Model Ekosistem Perpustakaan Malaysia (MyLEM) dibangunkan bagi menyatukan lebih 5.9 juta data perpustakaan negara, sekali gus memperkukuh ekosistem kepustakawanan yang kini masih berpecah-pecah.
- MyLEM membangunkan Katalog Induk Kebangsaan untuk menghimpunkan data perpustakaan daripada perpustakaan yang terlibat.
- Kejayaan MyLEM bergantung pada komitmen perpustakaan, persatuan, industri dan organisasi berkaitan, PNM menyediakan garis panduan dan rujukan.
- Perkembangan AI memberi nilai tambah kepada perkhidmatan perpustakaan tetapi mesti disemak oleh pustakawan untuk memastikan ketepatan maklumat.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Edy Irwan Zulkafli berkata, usaha itu antara lain dilaksanakan menerusi pembangunan Katalog Induk Kebangsaan yang menghimpunkan data daripada perpustakaan yang terlibat.
Katanya, kejayaan MyLEM bergantung kepada komitmen semua pihak termasuk perpustakaan, persatuan, industri dan organisasi berkaitan.
“Kalau kita lihat bagaimana model ini berfungsi sepenuhnya, ia bergantung kepada komitmen semua pihak yang terlibat. Perpustakaan Negara Malaysia tidak boleh melakukan segala-galanya. Kita boleh menyediakan garis panduan dan panduan rujukan untuk digunakan oleh perpustakaan,” katanya selepas Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia (PTPM) 2026, hari ini.
Dalam pada itu, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu menjadi nilai tambah kepada perkhidmatan perpustakaan, khususnya dalam memudahkan tugasan serta pengurusan maklumat.
Edy Irwan berkata, penggunaan AI bagaimanapun perlu disertai semakan pustakawan bagi memastikan maklumat yang diperoleh tepat dan sahih.
“AI ini sebagai alat, teknologi ini sebagai alat yang banyak mempermudahkan tugasan dan juga hubungannya dengan maklumat. Namun fungsinya sebagai seorang pustakawan adalah untuk kita membuat semakan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya penggunaan AI tidak menjejaskan keupayaan manusia untuk menilai maklumat dan membuat pertimbangan sendiri.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia, Hasnita Ibrahim berkata, PTPM menjadi platform menghimpunkan warga kepustakawanan daripada pelbagai sektor bagi berkongsi pengalaman, kejayaan dan amalan terbaik.
Katanya, persidangan itu turut memperkukuh profesionalisme pustakawan menerusi latihan berterusan dan pembangunan profesional berterusan (CPD), selaras dengan perubahan teknologi termasuk AI.
PTPM 2026 menghimpunkan warga kepustakawanan daripada pelbagai institusi dan sektor.
Turut hadir, mantan Ketua Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Professor Ts Dr Mohamad Kamal Harun.