
BESUT, 23 September – Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus memperkukuh kerjasama dengan industri dalam pembangunan kurikulum bagi memastikan kemahiran graduan sepadan dengan keperluan pasaran pekerjaan.
- Penasihat industri memberi input kemahiran dan teknologi yang perlu dikuasai pelajar.
- Kandungan kurikulum diubah untuk memasukkan elemen industri, mengurangkan keperluan penyesuaian oleh majikan.
- Perkembangan AI dan digitalisasi mendorong penyesuaian kurikulum bagi kemahiran relevan semasa.
Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Zamzam Mohd Walid berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi penglibatan penasihat industri yang memberi input mengenai kemahiran dan teknologi yang perlu dikuasai pelajar.
Menurutnya, langkah berkenaan penting susulan kadar padanan graduan dengan bidang pekerjaan masih sekitar 50 hingga 60 peratus, meskipun kadar bekerja graduan politeknik mencapai 98.5 peratus pada 2025.
“Jadi dalam konten kurikulum itu, ada elemen-elemen yang diperlukan oleh industri itu dimasukkan dalam kita punya kurikulum.
“Pelajar-pelajar akan diajar dengan konten yang sebegitu supaya apa yang kita nak ajar di politeknik ini match dengan keperluan industri.
“Tujuannya supaya nanti bila pelajar-pelajar itu keluar, mereka tidak memerlukan banyak penyesuaian yang perlu dibuat oleh pihak industri untuk bekerja,” katanya selepas merasmikan Creative Xperience Festival (CFX) 2026 di Politeknik Besut.
Dalam pada itu, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi turut mendorong penyesuaian kurikulum bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa.