Keluarga 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal terima sokongan JKM

Foto RTM

ALOR SETAR, 23 September – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus bekerjasama dengan Kementerian Luar melalui Wisma Putra bagi memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir kilat dan tanah runtuh di daerah Rasuwa, Nepal sejak 26 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keadaan emosi kebanyakan keluarga mangsa semakin beransur stabil dan menunjukkan perkembangan positif.
  • Keluarga diberikan ruang dan masa untuk meluahkan perasaan serta menerima situasi yang berlaku.
  • Keluarga masih mengharapkan bantuan berterusan kerajaan, Wisma Putra dan JKM untuk meneruskan kehidupan.
  • Kedah rekod 176 kes keganasan rumah tangga (2023 hingga Ogos 2026); ramai mangsa enggan melapor kerana takut membuka aib keluarga.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, keadaan emosi kebanyakan keluarga mangsa kini beransur stabil dan menunjukkan perkembangan positif berbanding peringkat awal bencana.

Menurut beliau, keluarga mangsa diberikan ruang dan masa untuk meluahkan perasaan serta menerima situasi yang berlaku, selain terus menerima sokongan daripada pihak berkuasa.

“Alhamdulillah, pada ketika ini keadaan mereka semakin beransur baik. Pada permulaan, kita faham mereka agak sukar untuk bercakap dan meluahkan perasaan.

“Mereka perlu diberikan sedikit ruang dari segi emosi untuk bercerita dan sebagainya. Namun, dari semasa ke semasa, kita dapati keadaan semakin baik dan kebanyakan keluarga mangsa sedikit sebanyak boleh menerima apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, keluarga berkenaan masih mengharapkan bantuan berterusan kerajaan, Wisma Putra dan JKM bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Datuk Che Murad Sayang berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM 2026 di sini.

Hampir 250 peserta terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan JKM, Biro Bantuan Guaman dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai program berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 176 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Kedah bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2026.

Daripada jumlah itu, 48 kes direkodkan pada 2023, 37 kes pada 2024, 45 kes pada 2025 dan 46 kes setakat Ogos tahun ini.

Menurut Datuk Che Murad Sayang, masih ramai mangsa enggan membuat laporan kerana tidak mahu membuka aib keluarga, selain wujud persepsi masyarakat supaya tidak campur tangan dalam urusan rumah tangga orang lain.

Justeru, Program Wonderful Life dianjurkan bagi meningkatkan advokasi dan pendedahan mengenai perundangan berkaitan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), selain pendekatan menerusi Enakmen Syariah bagi membantu mangsa mendapatkan perlindungan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.