RTM, UKAS, TVS perkukuh kolaborasi, pacu penyampaian maklumat

Foto RTM

KUCHING, 23 September – Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited memperkukuh kolaborasi bersama Kerajaan Sarawak menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TV Sarawak (TVS), bagi mempertingkat penyampaian maklumat kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama penting untuk mendepani perubahan teknologi dan landskap media demi memastikan kandungan yang disampaikan kekal relevan.
  • Perkongsian pengalaman, kepakaran serta bahan arkib digunakan untuk menyokong penganjuran Anugerah Industri Muzik.
  • Pertukaran kepakaran dalam berita, pemerolehan kandungan dan penganjuran program fizikal serta digital; pengamal media perlu meningkatkan kemahiran.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, kerjasama berkenaan penting bagi mendepani perubahan teknologi serta landskap media yang semakin mencabar, selain memastikan kandungan yang disampaikan kekal relevan.

Menurutnya, kolaborasi RTM dan TVS turut meliputi penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM), termasuk perkongsian pengalaman, kepakaran dan bahan arkib RTM bagi menyokong acara berkenaan.

“RTM dan TVS kini aktif melaksanakan pertukaran kepakaran dalam aspek berita dan hal ehwal semasa, pemerolehan kandungan serta penganjuran program secara fizikal dan digital.

“Kerjasama ini akan terus diperkasa, melibatkan TVS, UKAS dan RTM demi memperkukuh penyampaian maklumat kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Kunjungan Hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Ashwad menegaskan perubahan cara masyarakat mendapatkan dan menggunakan kandungan menuntut pengamal media untuk terus meningkatkan kemahiran serta meneroka pendekatan baharu.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop; Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan dan Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Wizana Hashim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.