
KUALA LUMPUR, 23 September – Kos tambahan yang perlu diserap Tenaga Nasional Bhd (TNB) susulan peluasan langkah perlindungan berkaitan bil elektrik dijangka lebih rendah berbanding anggaran awal antara RM120 juta hingga RM150 juta.
- MBSB IB anggap unjuran konservatif berdasarkan senario harga bahan api yang tinggi.
- Penyerapan kos dijangka mengurangkan unjuran keuntungan TNB bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 1.9 hingga 2.3 peratus.
- Kesan terhadap TNB dijangka terkawal kerana langkah sementara dan sumbangan korporat sekali beri.
- Cadangan AFA perlu memastikan TNB kekal berkecuali, dan rangka kawal selia mesti mengekalkan pemulihan kos bahan api.
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berkata, anggaran berkenaan merupakan unjuran konservatif berdasarkan senario harga bahan api pada paras tinggi.
Menurutnya, TNB membuat anggaran itu berdasarkan andaian harga minyak mentah Brent pada AS$110 setong, arang batu AS$136 hingga AS$138 satu tan metrik, gas RM74 setiap juta British thermal unit (MMBtu) serta kadar pertukaran dolar AS-Ringgit pada 4.20.
“Berdasarkan anggaran tersebut, penyerapan kos tambahan sehingga RM150 juta dijangka mengurangkan unjuran keuntungan TNB bagi tahun kewangan 2026 antara 1.9 peratus hingga 2.3 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, MBSB IB berkata, kesan terhadap TNB dijangka masih terkawal kerana langkah berkenaan bersifat sementara dan melibatkan sumbangan korporat sekali beri.
Menurutnya, langkah itu juga berada di luar rangka kerja kawal selia, sekali gus tidak menjejaskan pulangan terkawal TNB atau mekanisme pemulihan kos bahan api.
Mengulas cadangan kerajaan memperkenalkan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA) yang lebih kekal mulai Januari 2027, MBSB IB berkata mekanisme baharu itu perlu memastikan TNB kekal berkecuali terhadap perubahan kos bahan api.
“Pada pandangan kami, mekanisme baharu tidak seharusnya menjejaskan pendapatan TNB selagi rangka kerja kawal selia terus mengekalkan mekanisme pemindahan dan pemulihan kos bahan api sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, MBSB IB mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham TNB dengan sasaran harga RM16.31 berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF).