PM sifatkan tindakan MB, Bekas Exco N. Sembilan biadab, tidak bertamadun

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui media ketika dalam perjalanan ke Hangzhou menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Shanghai / Foto Afiq Hambali, Pejabat Perdana Menteri Malaysia

HANGZHOU, 23 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah keras tindakan Menteri Besar dan bekas Exco Negeri Sembilan yang didakwa mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan menyifatkannya sebagai satu langkah biadab dan tidak bertamadun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengecam tindakan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan sebagai biadab dan tidak bertamadun kerana mempertikaikan kedudukan Raja.
  • Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan Raja-Raja tetapi wajib pastikan tindakan negeri selaras dengan Perlembagaan dan peraturan.
  • Kedudukan Raja tidak boleh diubah atau dipertikaikan melalui keputusan Menteri Besar dan Exco tanpa asas perundangan yang sah.
  • Perlu hormati bidang kuasa; bawa isu kepada saluran yang betul seperti Undang Luak atau Majlis Raja-Raja, dan akur dengan keputusan institusi.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan Raja-Raja Melayu, namun mempunyai tanggungjawab memastikan keselamatan negara, institusi dan segala tindakan berkaitan pemerintahan negeri dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan serta peraturan yang ditetapkan.

“Yang paling saya fikir tidak munasabah ialah Menteri Besar dan (bekas) Exco yang membuat keputusan. Ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras.

“Sejak bila mereka ada mandat nak mempertikai kedudukan Raja?” katanya kepada media ketika dalam perjalanan ke Hangzhou menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Shanghai.

Datuk Seri Anwar berkata, sekiranya Undang Luak atau pihak berkaitan mengemukakan pandangan atau menggunakan saluran yang sewajarnya berdasarkan alasan dan peruntukan yang sah, perkara itu adalah berbeza.

Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat mestilah melalui proses yang betul dan mempunyai asas perundangan yang sah.

“Kalau Undang (Undang Luak Negeri Sembilan), gunakan alasan dia. Itu soal lain. Saya tidak pernah bantah. Tapi soal, malah saya sebut kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja termasuk Yang di-Pertuan Agong, apa jadi ini? Tak setuju besar,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kedudukan Raja tidak boleh dipertikaikan atau diubah melalui keputusan Menteri Besar dan bekas Exco.

“Institusi Raja-Raja Melayu itu dimartabatkan, jangan dirobohkan. Kalau dimulakan begini, Menteri Besar dan (bekas) Exco boleh buat keputusan, ini belajar dari mana ini?” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan Persekutuan juga perlu berpegang kepada prinsip bahawa Perdana Menteri sebagai Ketua Eksekutif negara tetap tertakluk kepada Perlembagaan dan tidak boleh mencampuri urusan Raja-Raja.

Dalam pada itu, beliau memberi contoh isu berkaitan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang sebelum ini dikaitkan dengan Melaka.

Katanya, terdapat pandangan supaya mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak diadakan di Melaka atas alasan berkaitan pilihan raya dan dicadangkan supaya diadakan di Kuala Lumpur.

Namun, menurut beliau, perkara itu bukan untuk diputuskan oleh Perdana Menteri, sebaliknya perlu dibawa kepada Majlis Raja-Raja untuk diputuskan oleh institusi berkenaan.

“Saya kata, bawa ke Majlis Raja-Raja. Tanya Yang di-Pertuan Agong, tanya pengerusi mesyuarat yang akan datang, Tuanku Sultan Perak, Raja Nazrin. Perdana Menteri akur dengan keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau menegaskan, meskipun Perdana Menteri boleh mengemukakan perkara tertentu untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja, keputusan yang dibuat oleh institusi berkenaan tidak boleh dipengaruhi oleh kerajaan.

“Perdana Menteri tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, prinsip sama perlu difahami dalam isu Negeri Sembilan, termasuk keperluan menghormati bidang kuasa serta proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Beliau pada masa sama menegaskan, pendiriannya untuk memastikan institusi Raja-Raja Melayu terus dimartabatkan serta prinsip Perlembagaan negara dihormati.

“Saya nak pastikan Perlembagaan dihormati, saya nak pastikan jangan ada kebiadaban termasuk mempertikaikan kedudukan Raja,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.