
HANGZHOU, 23 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati pendirian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menawarkan peletakan jawatan atas prinsip menentang kleptokrasi dan rasuah.
- PM menghormati tawaran peletakan jawatan Anthony Loke atas prinsip menentang kleptokrasi dan rasuah.
- PM belum berbincang terperinci, mahu memberi ruang kepada Anthony sebelum membuat sebarang keputusan.
- Kerajaan terhad oleh peruntukan Perlembagaan dan undang-undang terutama dalam soal pengampunan dan kuasa Lembaga Pengampunan.
- Anwar tekankan pendirian menolak rasuah tidak berubah dan gesa penyelesaian dengan sabar serta bijaksana.
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar berkata, beliau belum berbincang secara terperinci dengan Anthony mengenai perkara itu dan mahu memberi ruang kepadanya sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurut beliau, pendirian Anthony adalah berasaskan prinsip dan beliau sendiri tidak berbeza pandangan dalam soal menolak rasuah, namun kerajaan perlu mengambil kira bidang kuasa serta peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Saya nak dengar penjelasan dia. Tentu dia letak atas dasar prinsip kerana dia rasa sepanjang puluh tahun ini kita bergerak menentang kleptokrasi, amalan rasuah.
“Jadi sukar bagi dia mempertahankan,” katanya ketika ditemui media dalam kereta api menuju ke Hangzhou, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan mempunyai keterbatasan dalam perkara berkaitan pengampunan, termasuk keputusan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menurutnya merupakan bidang kuasa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, isu itu telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, manakala Peguam Negara turut menjalankan tugasnya dengan menyampaikan pandangan secara tulus dan adil mengenai faktor yang menyebabkan kerajaan sukar menerima keputusan mengurangkan hukuman pada peringkat ini.
“Yang di-Pertuan Agong beri pertimbangan lain dan memutuskan. Dan kita sebagai rakyat dan prinsip Perlembagaan yang ada, saya faham ada setengah nak gunakan ini kononnya kita ada kompromi, kita dah pakat dengan pimpinan UMNO, tak betul,” katanya.
Beliau turut menegaskan, pendirian kerajaan dalam menolak rasuah tidak berubah, sambil meminta semua pihak memahami keterbatasan kerajaan dalam sistem Perlembagaan sedia ada.
Katanya, kerajaan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam soal pengampunan walaupun mempunyai majoriti besar di Parlimen.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menolak cadangan supaya Anthony atau DAP mengambil tindakan susulan atas keputusan berkenaan semata-mata kerana tekanan politik.
Menurut beliau, Anthony tidak melakukan kesalahan, sebaliknya mengambil pendirian berdasarkan prinsip perjuangannya.
“Dia bukan menentang keputusan saya ataupun Kerajaan MADANI dan kerjasama dalam Perpaduan. Tapi dia fikir sukar dia nak pertahankan keputusan itu bila parti dia, malah Pakatan Harapan sekarang daripada awal pendirian kita agak tegas bab ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, akan turut memberikan pandangan kepada Anthony mengenai implikasi daripada keputusan berkenaan, namun menegaskan perkara itu perlu ditangani dengan sabar dan bijaksana.