
SHANGHAI, 23 September – Tenaga teknikal kekal penting dalam memastikan ekonomi moden terus berfungsi, meskipun teknologi dan perisian semakin canggih, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Tenaga teknikal diperlukan untuk memastikan operasi pengeluaran semikonduktor dan loji kenderaan elektrik berjalan lancar.
- Golongan muda digalakkan menceburi bidang kemahiran kerana ia menawarkan laluan kerjaya jelas dan pendapatan lumayan.
- Reformasi TVET 2.0 menekankan kerjasama industri-institusi dan mempercepat pembangunan kemahiran dalam AI, semikonduktor dan tenaga boleh baharu.
Beliau berkata, tenaga teknikal diperlukan dalam pelbagai sektor berteknologi tinggi, termasuk memastikan barisan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi dan loji kenderaan elektrik mengikut jadual.
“Ekonomi moden tidak dapat berfungsi tanpa tenaga teknikal yang memastikan barisan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi atau loji kenderaan elektrik mengikut jadual.
“Teknologi mungkin menjadi semakin canggih, manakala perisian semakin pintar. Namun, tetap ada individu yang perlu memahami cara teknologi itu berfungsi serta tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlaku masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Pleno Pembukaan Persidangan dan Ekspo WorldSkills Shanghai 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC), di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar menggalakkan golongan muda menceburi bidang kemahiran sebagai laluan kerjaya yang mampu menawarkan masa depan serta pendapatan yang baik.
“Golongan muda akan memilih pekerjaan ini apabila mereka dapat melihat hala tuju kerjaya yang ditawarkan.
“Tanggungjawab kita adalah memastikan pekerjaan berkemahiran ini mempunyai laluan kerjaya yang baik serta menawarkan pendapatan yang lumayan,” katanya.
Beliau berkata, dinamisme golongan muda juga menjadi antara faktor penting dalam memacu kemajuan ekonomi yang lebih progresif.
Dalam usaha memperkukuh bidang kemahiran, reformasi TVET 2.0 memberi tumpuan kepada usaha merapatkan hubungan antara industri dengan institusi latihan.
Ia turut mempercepat pembangunan kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan tenaga boleh baharu.
Malaysia menghantar 22 peserta muda dalam 21 bidang kemahiran pada Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition) 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 27 September.
Perdana Menteri turut menyemarakkan semangat belia-belia Malaysia itu dengan rangkai kata dorongan serta menggelar mereka sebagai “kebanggaan negara”.