
KUALA LUMPUR, 23 September – Sebanyak 55 laporan diterima Tribunal bagi Antibuli (TAB) sejak badan itu dilancarkan pada 16 Jun lalu.
- Setiap laporan akan melalui proses semakan dan penilaian terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.
- Akta Antibuli 2026 menekankan pemulihan dan memahami punca tingkah laku, bukan tujuan menghukum pelajar.
- Tindakan bertujuan memulihkan kanak-kanak supaya mereka memahami punca dan faktor yang mencetuskan tingkah laku.
- Ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab; perlu terlibat dalam mediasi atau penyelesaian pertikaian alternatif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap laporan akan melalui proses semakan dan penilaian terlebih dahulu bagi menentukan sama ada ia boleh dibawa ke peringkat seterusnya.
Datuk Seri Azalina turut menegaskan, Akta Antibuli 2026 (Akta 876) bukan bertujuan menghukum pelajar, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memahami punca tingkah laku mereka.
“Kita di sini bukan untuk menghukum. Saya tidak percaya dengan menghukum kanak-kanak. Saya rasa perlu memulihkan mereka supaya mereka memahami apa yang mencetuskan dan menyebabkan tingkah laku itu.
“Objektif akta ini seperti yang dibincangkan secara berterusan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ia adalah mengenai pemulihan, bukan menghukum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Literasi Akta Antibuli 2026 di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi, hari ini.
Datuk Seri Azalina turut menegaskan bahawa ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak institusi semata-mata sekiranya anak mereka terlibat dalam kes buli.
Katanya, ibu bapa perlu terlibat dalam proses penyelesaian seperti mediasi ataupun penyelesaian pertikaian alternatif, supaya kedua-dua pihak dapat mencapai satu persetujuan.