MAGNET 2026 tarik 1,303 pelajar antarabangsa, perkukuh sektor pelancongan pendidikan

Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Faiezi Zuber / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 September – Seramai 1,303 pelajar antarabangsa dari 60 negara menyertai Program Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2026, sekali gus menyokong usaha memperkukuh pelancongan pendidikan di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAGNET 2026 memberi peluang pelajar antarabangsa mengenali budaya, adat dan warisan tempatan melalui pelbagai aktiviti di institusi pendidikan tinggi.
  • Program mengintegrasikan pendidikan tinggi dengan kebudayaan Malaysia melalui kolaborasi universiti awam dan program-program seperti MAGNET.
  • MAGNET 2026 berlangsung 30 September hingga 1 Oktober di Kolej Universiti Antarabangsa INTI Nilai, memasuki tahun kelima penganjuran.
  • Acara menampilkan 30 reruai dikendalikan pelajar dan empat reruai khusus warisan Negeri Sembilan bersama Lembaga Pelancongan Negeri.

Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Faiezi Zuber berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mengenali budaya, adat dan warisan tempatan menerusi pelbagai aktiviti di institusi pendidikan tinggi.

“Tahun ini kita sasarkan lebih kurang 1,000 orang, selepas itu kita tambah lebih kurang 200 sahaja, tetapi desakan ini sampai 1,300 orang pelajar ingin menyertai MAGNET kerana di situ kita kumpulkan warisan dan budaya dengan etnik-etnik yang menarik serta permainan tempatan yang menjadi memori indah kepada mereka untuk terus mengenali Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Dr Faiezi berkata, dalam usaha mengintegrasikan antara pendidikan tinggi dengan budaya di Malaysia, pihaknya telah menjalinkan pelbagai program yang ada di universiti awam termasuk program MAGNET 2026 yang akan diadakan dari 30 September hingga 1 Oktober 2026.

Memasuki tahun kelima penganjuran, MAGNET 2026 akan berlangsung di Kolej Universiti Antarabangsa INTI cawangan Nilai, Negeri Sembilan, menyediakan 30 reruai yang dikendalikan pelajar bagi mengetengahkan budaya negara masing-masing.

Selain itu, pelajar antarabangsa berpeluang mengenali warisan dan adat Negeri Sembilan menerusi empat reruai dengan penglibatan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.

Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha memperkukuh pelancongan pendidikan atau edutourism yang disenaraikan sebagai antara komponen pengisian rasmi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.