
JALAN TAMING SARI, 23 September – Seramai 10,000 peserta dijangka hadir pada Musyawarah Nasional 3.0 yang dijadual berlangsung pada 26 September ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
- Penganjuran bertujuan menyemai kecintaan terhadap tanah air serta memperkaya pengetahuan mengenai sejarah dan warisan negara.
- Acara memberi peluang mendengar pandangan ahli akademik mengenai Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai isu negara.
- Fokus perbincangan kontemporari bertajuk Membongkar Polemik Tanah Melayu membincangkan isu sejarah, sosial dan politik.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata penganjuran bertujuan menyemai rasa kecintaan terhadap tanah air serta memperkaya pengetahuan mengenai sejarah dan warisan negara.
“Kita merupakan masyarakat berbilang kaum dan majmuk yang hidup puluhan tahun di bumi Malaysia secara bersama dalam keadaan harmoni.
“Kita juga mempunyai Perlembangaan Persekutuan. Justeru, ini lah platform yang memberi peluang kepada semua untuk mendengar ilmu pengetahuan dari sudut pandang ahli-ahli akademik mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran di Melakafm, di sini hari ini.
Musyawarah Nasional 3.0 akan memberi tumpuan kepada perbincangan kontemporari bertajuk Membongkar Polemik Tanah Melayu.