Malaysia-China perkukuh kerjasama TVET, sokong pembangunan industri bernilai tinggi

Foto Afiq Hambali, Pejabat Perdana Menteri

SHANGHAI, 23 September – Malaysia dan China perlu memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi menyokong pembangunan industri bernilai tinggi, termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi industri, kenderaan elektrik dan teknologi digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkasakan kerjasama TVET melalui pertukaran pelajar dan pengajar, latihan bersama, hubungan institusi dengan industri serta perkongsian teknologi dan kepakaran.
  • TVET sebagai tonggak hubungan lebih luas Malaysia-China, menyokong kerjasama strategik komprehensif sejak 2013.
  • Malaysia mensasarkan pembangunan ekonomi bernilai tinggi; strategi semikonduktor menekankan sasaran pelaburan dan latihan jurutera menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu boleh diperkasa menerusi pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, program latihan bersama, hubungan lebih erat antara institusi TVET dan industri serta perkongsian teknologi dan kepakaran.

Beliau berkata, TVET berpotensi menjadi salah satu tonggak kepada hubungan lebih luas Malaysia-China, yang merupakan Rakan Strategik Komprehensif sejak 2013.

“Malaysia dan China mempunyai kedudukan yang baik untuk melakukan lebih banyak perkara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Pleno Pembukaan Persidangan dan Ekspo WorldSkills Shanghai 2026, di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC), di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, keperluan memperkukuh TVET semakin penting susulan hasrat Malaysia membangunkan ekonomi pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor, AI, teknologi hijau dan agromakanan.

Menurut beliau, menerusi Strategi Semikonduktor Nasional, Malaysia menetapkan dua sasaran bagi 2030, iaitu mencapai RM500 bilion pelaburan dalam sektor semikonduktor serta melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, pelaburan boleh hadir ke Malaysia atas pelbagai faktor, namun pertumbuhan industri pada asasnya bergantung kepada kewujudan tenaga kerja berkemahiran yang mencukupi.

“Pelaburan tiba di Malaysia atas pelbagai sebab. Tetapi kita semua tahu ia berkembang terutamanya apabila terdapat kemahiran yang mencukupi untuk menyokongnya,” ujarnya.

Datuk Seri Anwar berkata Malaysia yang selama lebih lima dekad dikenali dalam aktiviti pemasangan dan pengujian cip kini berhasrat bergerak lebih jauh ke bidang reka bentuk semikonduktor.

Katanya, aspirasi sama turut digerakkan dalam bidang AI, teknologi hijau dan agromakanan, yang berkembang pada kadar lebih pantas berbanding kemampuan kurikulum untuk disesuaikan dengan perubahan industri.

Perdana Menteri dalam lawatan kerja tiga hari atas undangan kerajaan China bagi menghadiri WorldSkills Shanghai 2026 dan Ekspo Perdagangan Digital Global ke-5 (GDTE) di Hangzhou.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.