
MELAKA, 16 Oktober – Sebanyak 42 buah sekolah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat menerusi Program Sekolah Angkat MADANI 2026 anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat kumpulannya.
- Peruntukan RM1.05 juta memberi manfaat langsung kepada lebih 10,300 pelajar dan guru di seluruh negara.
- Inisiatif bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran lebih selesa dan kondusif.
- Usaha penambahbaikan menjaga kesejahteraan warga ATM serta menjamin mutu pendidikan dan masa depan anak-anak mereka.
- Menteri meninjau SRA JAIM Kem Terendak, RM35,000 diperuntuk untuk menaik taraf kemudahan surau sekolah itu.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, inisiatif tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.05 juta telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 10,300 pelajar dan guru di seluruh negara.
“Ia bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa serta kondusif.
“Usaha penambahbaikan kemudahan pendidikan ini dilaksanakan sebagai langkah berterusan bagi menjaga kesejahteraan warga ATM, terutamanya dalam menjamin mutu pendidikan dan masa depan anak-anak mereka,” jelasnya.
Beliau berkata langkah tersebut juga diharapkan dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan lagi semangat murid untuk menimba ilmu dalam suasana yang lebih selesa.
Datuk Seri Mohamed Khaled menyatakannya ketika melawat SRA JAIM Kem Terendak di sini bagi meninjau keperluan prasarana pendidikan di sekolah terbabit.
Sebanyak RM35,000 diperuntuk untuk menaik taraf kemudahan surau di sekolah berkenaan.