Serangan Easter : Sri Lanka hukum penjara 15 individu hingga 220 tahun

Serangan bom pada sambutan hari Easter di Sri Lanka pada 2019 meragut ratusan nyawa – Foto AFP

COLOMBO, 23 September – Mahkamah Tinggi Sri Lanka menjatuhkan hukuman penjara 220 tahun masing-masing terhadap 15 lelaki yang disabitkan atas kesalahan berkaitan pengeboman pada sambutan hari Easter yang meragut 279 nyawa pada 2019.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panel tiga hakim mendapati 14 tertuduh bersalah atas semua pertuduhan termasuk membunuh, konspirasi keganasan, dan memiliki senjata serta bahan letupan di bawah Akta Pencegahan Keganasan.
  • Mahkamah memerintahkan semua harta dan aset pesalah dirampas.
  • Perbicaraan lima tahun menuduh 24 tertuduh membantu lapan penyerang bunuh diri menyerang tiga hotel mewah dan tiga gereja.

Panel tiga hakim mendapati 14 tertuduh bersalah atas semua pertuduhan, termasuk membunuh, konspirasi melakukan keganasan serta memiliki senjata api dan bahan letupan bawah Akta Pencegahan Keganasan.

Seorang lagi didapati bersalah atas sebahagian pertuduhan, namun turut dijatuhi hukuman penjara selama 220 tahun.

Sembilan lagi tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Mahkamah turut memerintahkan semua harta dan aset milik pesalah dirampas.

Kesemua 24 lelaki itu didakwa membantu dan bersubahat dengan sekumpulan lapan penyerang bunuh diri yang melancarkan serangan di tiga hotel mewah dan tiga gereja pada 21 April 2019.

Mereka ditahan tidak lama selepas serangan dilancarkan.

Perbicaraan berkaitan serangan pengganas terhadap orang awam yang paling buruk dalam sejarah negara itu berlangsung selama lima tahun.

Penyiasat menuduh kumpulan militan tempatan sebagai dalang serangan berkenaan.

Perbicaraan itu turut mencatat sejarah perundangan Sri Lanka selepas pasukan pendakwa raya memfailkan 23,270 pertuduhan, jumlah tertinggi pernah difailkan dalam satu kes.

Seramai 45 warga asing turut terkorban dalam serangan berkenaan, termasuk warganegara Australia, Bangladesh, Britain, China, Denmark, India, Jepun, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Turkiye dan Amerika Syarikat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.