
TEHRAN, 23 September – Penerbangan dari Iran ke ibu negara Iraq dan Oman dibatalkan mulai tengah malam Rabu, beberapa jam sebelum sekatan tambahan Amerika Syarikat (AS) dikuatkuasakan.
- Beberapa penerbangan antarabangsa lain, termasuk ke Istanbul, terus beroperasi seperti biasa mengikut jadual.
- AS menyenaraihitam sektor penerbangan Iran dan mengancam sekatan terhadap organisasi asing yang bekerjasama.
- Setiausaha Perbendaharaan berkata syarikat penerbangan Iran akan berdepan kesukaran untuk beroperasi di seluruh dunia.
- Sekatan dan larangan negara lain, termasuk Georgia, semakin menyukarkan rakyat Iran melancong atau pulang ke tanah air.
Agensi berita Tasnim memetik jurucakap penerbangan awam sebagai berkata, lapangan terbang Baghdad dan Muscat tidak lagi akan menerima penerbangan dari Iran.
“Penerbangan antarabangsa lain, termasuk ke Istanbul, akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual, tanpa sebarang masalah buat masa ini.
“Pihak berkuasa penerbangan Iran turut berunding untuk melencongkan penerbangan ke Baghdad ke Najaf, yang menjadi destinasi utama jemaah Iran.
Sementara itu, agensi berita ISNA pula melaporkan, rundingan dengan pihak Oman masih diteruskan.
Di Iraq, kerajaan masih belum mengumumkan rancangan untuk menguatkuasakan larangan itu, namun beberapa sumber, termasuk seorang pegawai kanan kerajaan, memberitahu AFP bahawa Baghdad akan mematuhinya.
Awal bulan ini, AS menyenaraihitamkan sektor penerbangan Iran dan mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap mana-mana organisasi asing yang bekerjasama dengan syarikat penerbangan Iran.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, pada Isnin berkata, syarikat penerbangan Iran akan berdepan kesukaran untuk beroperasi mulai Rabu susulan sekatan dilaksanakan AS.
“Semua syarikat penerbangan Iran akan dihentikan operasinya di seluruh dunia, ” katanya dalam temu bual dengan CNBC.
Iran mempunyai 27 syarikat penerbangan, kebanyakannya mengendalikan laluan domestik.
Syarikat penerbangan nasional, Iran Air dan syarikat penerbangan swasta, Mahan Air, merupakan dua penyedia utama bagi laluan antarabangsa, terutamanya ke negara jiran, selain Rusia dan China.
Pada Isnin, Georgia melarang syarikat penerbangan Iran, manakala Mahan Air memaklumkan, pihaknya menggantung perkhidmatan ke Turkiye atas permintaan kerajaan negara itu.
Sekatan terbaharu itu semakin menyukarkan rakyat Iran untuk melancong ke luar negara atau pulang ke tanah air.
Serangan AS dan sekutunya, Israel ke atas Iran pada akhir Februari lalu menyebabkan ruang udara negara itu ditutup sepenuhnya.
Penerbangan kemudian disambung semula secara terhad, namun hanya syarikat penerbangan Iran dibenarkan membawa penumpang keluar dari negara itu. – AFP