Erdogan gesa dunia segera bina semula Gaza

Pembinaan semula Gaza penting demi masa depan anak-anak Palestin – Foto AFP

UNITED NATIONS, 23 September – Dunia perlu segera memulakan pembinaan semula Gaza, gesa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Erdogan menggesa dunia segera memulakan pembinaan semula Gaza dan meningkatkan tekanan terhadap Israel.
  • Walaupun gencatan senjata 2025 dicapai, serangan udara Israel dan sekatan bahan menghalang usaha pembinaan semula Gaza.
  • Penilaian PBB, Bank Dunia dan EU menganggarkan keperluan pemulihan Gaza AS$71.4 bilion dalam 10 tahun; Erdogan seru pengiktirafan Palestin.

Gesaan itu dibuat beliau ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sambil mendesak pemimpin dunia meningkatkan tekanan terhadap Israel.

Sejak serangan rejim Zionis bermula pada 7 Oktober 2023, wilayah Palestin itu musnah akibat serangan udara yang berterusan.

Data PBB menunjukkan sehingga Oktober 2025, kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan bangunan dan struktur di Gaza rosak atau musnah.

Walaupun gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat dicapai pada Oktober 2025, Israel masih meneruskan serangan udara serta menyekat kemasukan peralatan yang diperlukan bagi pembinaan semula Gaza, menyebabkan usaha itu sehingga kini masih belum bermula.

Penilaian bersama yang diterbitkan PBB, Bank Dunia dan Kesatuan Eropah pada April pula menunjukkan Gaza memerlukan perbelanjaan pemulihan dan pembinaan semula berjumlah AS$71.4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Erdogan turut menggesa semua negara yang masih belum mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka.

“Saya ingin menyeru semua negara yang masih belum mengiktiraf negara palestin supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka,” rayu beliau dalam ucapannya.

Setahun lalu, Perancis menerajui sidang kemuncak khas PBB bagi mengiktiraf negara Palestin, dengan 10 negara secara rasmi mengambil langkah itu, termasuk Britain, Kanada dan Australia.

Perkembangan itu menjadikan kira-kira 157 daripada 193 negara anggota PBB kini mengiktiraf Palestin, bersamaan lebih empat perlima daripada keseluruhan keanggotaan PBB. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.