Taufan Dujuan ragut 7 nyawa di Jepun

Taufan Dujuan yang melanda membawa hujan lebat sehingga menenggelami sebuah taman di bandar Ichikawa dalam wilayah Chiba – Foto AFP

TOKYO, 23 September – Tujuh maut, manakala lima lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh dan banjir selepas Taufan Dujuan membadai Tokyo dan kawasan sekitarnya pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan elektrik terputus kepada kira-kira 58,000 rumah di wilayah Chiba.
  • Hujan luar biasa; Oshima 832 mm dalam 48 jam, Edogawa 282.5 mm dalam 24 jam, rekod tertinggi di beberapa kawasan.
  • Pameran permainan video antarabangsa di Tokyo ditutup awal; operasi mencari dan menyelamat diteruskan susulan tanah runtuh.

Agensi berita Kyodo News memetik pihak berkuasa sebagai berkata, taufan itu turut menyebabkan bekalan elektrik kepada kira-kira 58,000 rumah di wilayah Chiba, timur Tokyo, terputus sementara pada awal pagi.

Dujuan yang melanda ketika sambutan cuti bersiri digelar ‘Silver Week’, turut menyebabkan satu daripada pameran perdagangan permainan video terbesar di dunia yang berlangsung di Tokyo, ditutup lebih awal.

“Taufan itu bergerak keluar ke Lautan Pasifik pada pagi Selasa sebelum statusnya diturunkan daripada taufan kepada ribut pada hari yang sama, menurut Kyodo News yang memetik makluman agensi cuaca Jepun.

Beberapa ribut yang melanda musim ini turut menjejaskan sebahagian acara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang diadakan di negara itu.

Kyodo News melaporkan, lima mangsa maut di wilayah Chiba, manakala dua lagi di Kanagawa, selatan Tokyo.

“Operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan bagi mengesan mangsa yang hilang dalam kejadian tanah runtuh,” menurut laporan itu lagi.

Taufan Dujuan turut menyebabkan hujan luar biasa lebat dan merekodkan jumlah curahan hujan tertinggi di beberapa kawasan.

Di Oshima, sebuah pulau kira-kira 120 kilometer selatan Tokyo, sebanyak 832 milimeter hujan direkodkan dalam tempoh 48 jam.

Jumlah itu melebihi dua kali ganda purata curahan hujan sepanjang September.

Sementara itu, stesen penyiaran NHK melaporkan, Edogawa pula merekodkan 282.5 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi pernah direkodkan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.