AS bakal bina dua pangkalan tentera di Greenland

President Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dan Perdana Menteri, Greenland, Jens-Frederik Nielsen menandatangani perjanjian keselamatan tiga pihak di luar sidang Perhimpunan Agung PBB di New York – Foto AFP

COPENHAGEN, 23 September – Amerika Syarikat (AS) akan membina dua pangkalan tentera di selatan dan timur Greenland bawah perjanjian keselamatan komprehensif yang ditandatangani bersama Greenland dan Denmark pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian 10 muka surat dimeterai di New York, di luar sidang Perhimpunan Agung PBB.
  • Perjanjian memberi kawalan aspek keselamatan kepada AS sambil mengiktiraf kedaulatan Denmark dan hak penentuan Greenland.
  • Perjanjian menghalang negara bukan NATO atau EU, termasuk China dan Rusia, daripada menguasai sektor strategik Greenland; Greenland mesti patuh jika merdeka.

Perjanjian 10 muka surat tersebut dimeterai di New York, di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Ia akan memberikan AS kawalan terhadap aspek keselamatan di wilayah autonomi artik Denmark berkenaan.

Bawah perjanjian itu, AS akan membina pangkalan tentera di Narsarsuaq, selatan Greenland dan Mestersvig di bahagian timur, selain pangkalan Pituffik yang sudah beroperasi di utara pulau itu.

Sejak kembali ke White House pada Januari 2025, Presiden Donald Trump berulang kali menegaskan kepentingan AS menguasai Greenland atas faktor strategik.

Pendirian itu menimbulkan kebimbangan Denmark, yang merupakan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta mencetuskan tentangan kuat dalam kalangan negara anggota perikatan itu.

Menerusi perjanjian tersebut, Washington menegaskan semula kedaulatan dan keutuhan wilayah kerajaan Denmark selain mengiktiraf hak Greenland untuk menentukan masa depan sendiri.

“Perjanjian berkenaan turut menghalang negara bukan NATO dan bukan Kesatuan Eropah (EU) daripada menguasai sektor strategik di Greenland.

“Langkah tersebut bertujuan menghalang China dan Rusia daripada mendapatkan pengaruh atau penguasaan di rantau artik.

“Selain itu, negara atau pelabur dari negara bukan anggota NATO rakan NATO atau anggota EU, tidak dibenarkan menguasai, mempunyai pengaruh besar atau mengakses maklumat bukan awam dalam sektor atau aktiviti sensitif di Greenland, ” menurut perjanjian tersebut.

Greenland, yang mempunyai populasi kira-kira 57,000 penduduk, turut dikehendaki mematuhi perjanjian itu sekiranya mencapai kemerdekaan daripada Denmark.

Ia juga perlu kekal dalam NATO atau menyertai perikatan itu jika diperlukan.

Bawah perjanjian pertahanan 1951 yang dikemas kini pada 2004, Washington sebelum ini sudah dibenarkan meningkatkan kehadiran ketenteraannya di Greenland dengan syarat memaklumkan Denmark dan Greenland terlebih dahulu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.