
WASHINGTON, 20 Jun – Tentera Amerika Syarikat (AS) terus berada dalam keadaan siap siaga di Asia Barat ketika usaha diplomatik Washington-Tehran berdepan ketidaktentuan susulan pertempuran terbaharu antara Israel dan Hizbullah di Lubnan.
- Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian memeterai MoU menyokong rundingan mengenai program nuklear Tehran dan isu serantau.
- Rundingan yang dijadual bermula Jumaat ditangguhkan susulan pertempuran terbaru antara Israel dan Hizbullah.
- Utusan White House Steve Witkoff dan penasihat Jared Kushner dilaporkan menuju Switzerland untuk kemungkinan pertemuan dengan wakil Iran.
- Pelaksanaan gencatan senjata berkekalan di Lubnan disifatkan sebagai syarat penting untuk meneruskan proses diplomatik.
Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menegaskan, pasukan AS yang ditempatkan di Asia Barat kekal berwaspada dalam melaksanakan misi mereka.
CENTCOM pada Jumaat menyiarkan rakaman pesawat pejuang F-16 Tentera Udara AS menerima bekalan bahan api ketika menjalankan rondaan di ruang udara rantau itu.
Rakaman itu disiarkan dua hari selepas Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menyokong rundingan mengenai program nuklear Tehran serta isu serantau yang lebih luas.
Rundingan berkenaan pada asalnya dijangka bermula pada Jumaat, tetapi ditangguhkan susulan pertempuran terbaharu antara Israel dan Hizbullah.
Terdahulu, pegawai kanan pentadbiran Trump dilaporkan menuju ke Switzerland menjelang kemungkinan pertemuan dengan wakil Iran.
Menurut laporan media, utusan White House, Steve Witkoff sedang dalam perjalanan ke negara itu, manakala penasihat presiden, Jared Kushner sudah tiba di sana.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi juga dijangka berkunjung ke Switzerland, namun perancangannya masih tertakluk kepada perubahan.
Pelaksanaan gencatan senjata yang berkekalan di Lubnan disifatkan ramai pihak sebagai antara syarat penting untuk meneruskan proses diplomatik itu. – REUTERS