
SHAH ALAM, 23 September – Polis Selangor menumpaskan sembilan sindiket pengedaran dadah menerusi 10 siri serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekitar Sepang.
- Rampasan sebanyak 418 kilogram ganja bernilai RM33.4 juta.
- 12 suspek ditahan, terdiri daripada seorang tempatan dan 11 warga asing berusia 17 hingga 62 tahun.
- Hampir semua suspek berperanan sebagai keldai dadah, direkrut dengan tawaran pekerjaan dan pakej pelancongan untuk membawa bagasi mengandungi dadah ke Eropah.
Sebanyak 418 kilogram (kg) ganja bernilai RM33.4 juta dirampas dalam operasi berkenaan.
Operasi yang dijalankan dari 28 Ogos hingga 21 September itu turut membawa kepada penahanan 12 suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki dan tujuh wanita warga asing berusia antara 17 hingga 62 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata rampasan membabitkan 671 bungkusan plastik mengandungi ganja yang dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 1.39 juta individu.
“Polis turut menyita dua kenderaan serta mata wang asing bernilai kira-kira RM37,700 daripada tiga suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, enam suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala enam lagi masih direman bagi melengkapkan siasatan.
“Hampir semua suspek ini adalah keldai dadah yang ditawarkan pekerjaan dan pakej pelancongan dari negara asal mereka sebelum diarahkan membawa keluar bagasi yang bukan milik mereka dan mengandungi dadah ke negara Eropah,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran upah lumayan untuk membawa bagasi atau barangan milik orang lain tanpa mengetahui kandungannya.