
SHAH ALAM, 23 September – Polis Selangor menafikan dakwaan kononnya Unit Kereta Peronda (MPV) mengiringi kenderaan pencuri kabel ketika melakukan kegiatan itu di Kampung Tasek Tambahan, Ampang, pada Sabtu lalu.
- Sudut rakaman CCTV yang tular menimbulkan kekeliruan dan kontroversi.
- Pasukan MPV dihantar untuk pengesahan; seorang suspek ditahan, beberapa rakan suspek melarikan diri.
- Suspek didakwa di bawah Seksyen 379, dikenakan denda RM8,000; polis siasat rakaman CCTV dan minta maklumat orang ramai.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dakwaan itu timbul susulan sudut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular sehingga menimbulkan kekeliruan dan kontroversi.
Jelasnya, pasukan MPV dihantar ke lokasi kejadian untuk membuat pengesahan sebelum berjaya menahan seorang suspek, manakala beberapa rakan suspek melarikan diri.
“Sebenarnya tidak ada kontroversi. Pihak MPV yang membuat rondaan tersebut telah melaksanakan tugasnya. Cuma yang saya persoalkan apabila melibatkan sudut-sudut rakaman tersebut seolah-olah menimbulkan kontroversi,” katanya pada sidang media, hari ini.
Suspek yang ditahan telah didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM8,000.
Shazeli berkata, kumpulan terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini, namun jumlah suspek yang masih bebas tidak dapat didedahkan kerana ia membabitkan maklumat operasi.
Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan berkaitan rakaman CCTV berkenaan, manakala keterangan pemilik rumah masih belum diambil kerana tumpuan diberikan kepada usaha mengesan suspek yang masih bebas.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan awal berdasarkan rakaman yang tular, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata identiti mayat yang ditemukan di ruang penyimpanan tayar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih belum dikenal pasti.
Katanya, polis masih menyiasat bagaimana individu berkenaan boleh berada di ruang terbabit dan meminta waris yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil memberikan maklumat kepada polis.