
PUTRAJAYA, 23 September – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 53 warga asing dan tujuh pemandu dalam operasi khas membongkar kegiatan perkhidmatan van yang disyaki digunakan untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Kajang dan Putrajaya, 21 September lalu.
- Operasi memintas van yang disyaki mengangkut pendatang asing tanpa izin.
- Beberapa pemandu warga asing didapati tiada dokumen perjalanan dan lesen memandu sah.
- Sebahagian pemandu mendakwa menerima bayaran RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van tempatan.
- Kenderaan disita dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen, Akta Pasport serta peraturan imigresen.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pasukan operasi memintas dan menahan tujuh van yang membawa penumpang warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati enam daripada van itu dipandu warga asing, terdiri daripada lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.
“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah. Pemeriksaan turut mendapati mereka tidak memiliki lesen memandu kompeten yang sah, manakala ada yang menggunakan lesen memandu percubaan.
“Siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing tersebut mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warganegara Malaysia untuk menjalankan perkhidmatan itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Turut ditahan ialah seorang lelaki warga Malaysia yang merupakan pemandu dan pemilik salah sebuah van berkenaan.
Kesemua enam pemandu warga asing dan lelaki tempatan itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Pemeriksaan terhadap penumpang pula membawa kepada penahanan 53 warga asing, terdiri daripada 44 warga Indonesia iaitu 12 lelaki dan 32 wanita, lapan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar.
Mereka ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” menurut kenyataan itu.
Siasatan awal mendapati warga asing berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan van itu untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan.
JIM turut menyita tujuh van yang disyaki digunakan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan sedang mengesan pemilik kenderaan lain yang terlibat bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut.
Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi khas itu melibatkan 35 pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.