
KOTA BHARU, 23 September – Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) selepas gagal hadir ke prosiding bagi berdepan 42 pertuduhan hari ini.
- Gagal mengemukakan dokumen dan menyelenggara buku stok minyak masak berjadual.
- Menghadapi 72 pertuduhan keseluruhan; 30 kes dijadual untuk dibicarakan esok jika hadir ke mahkamah.
- Satu pertuduhan di bawah Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan, 41 di bawah Peraturan 13(1) berkaitan buku stok.
Hakim, Nik Habri Muhamad mengeluarkan waran tangkap terhadap Orang Kena Saman (OKS), Pui Tiong Lam, 61 tahun.
Selain gagal hadir ke prosiding, OKS turut gagal mengemukakan dokumen dan menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak.
Mahkamah turut menetapkan 5 November depan sebagai tarikh sebutan waran tangkap terhadap OKS yang juga pemilik perniagaan borong minyak masak.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri berkata, Tiong Lim sepatutnya hadir pada prosiding hari ini bagi berdepan 42 kes pertuduhan, namun gagal berbuat demikian tanpa alasan yang kukuh.
Susulan itu, pihaknya memohon mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap OKS.
Muhammadi Iman berkata, OKS mempunyai 72 pertuduhan secara keseluruhan dengan prosiding dilakukan dalam tempoh dua hari sehingga esok.
Pertuduhan hari ini melibatkan satu pertuduhan mengikut Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal mengemukakan dokumen membabitkan kes minyak masak.
Manakala, 41 pertuduhan di bawah Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu gagal selenggara buku stok minyak masak.
Kesemua kesalahan dilakukan pada Ogos 2024 dan Mac tahun ini.
Beliau berkata, prosiding 30 pertuduhan yang dijadual esok akan diteruskan sekiranya OKS hadir ke mahkamah.
Muhammadi Iman berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Sesyen di sini.