Laporan siasatan tanah runtuh Bandar Damai Perdana akan didedahkan secepat mungkin

Tapak tanah runtuh di Flat Damai Perdana Dua/Foto Majlis Perbandaran Kajang

KUALA LUMPUR, 23 September – Laporan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Blok D di sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana Cheras akan dikeluarkan secepat mungkin bagi menentukan tahap keselamatan bangunan untuk diduduki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian di lokasi dijalankan bersama JKR, MPKJ dan JMG.
  • Siasatan turut mengambil kira dakwaan kebocoran paip sebagai punca tanah runtuh.
  • 45 unit di Blok D dikosongkan segera melibatkan kira-kira 80 penduduk; PPS dibuka dan bekalan air dihentikan sementara.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) Zon 6, Tan Kah Hoe berkata, penilaian di lokasi sedang dijalankan secara bersama oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), MPKJ dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Buat sementara waktu, pihak JKR, MPKJ dan JMG akan menjalankan siasatan terlebih dahulu. Setakat ini, tiada sebarang ulasan diterima daripada mereka.

“Jadi, kita akan berhubung semula dengan pihak berkenaan sama ada struktur bangunan ini masih selamat untuk diduduki atau tidak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Siasatan itu turut mengambil kira dakwaan bahawa kejadian berkenaan berpunca daripada kebocoran paip di kawasan terbabit.

Tan berkata, laporan kejadian diterima kira-kira jam 8 malam sebelum MPKJ memasang kanvas sebagai tindakan awal bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wayne Ong.

Memandangkan kawasan runtuhan berada di bawah seliaan Badan Pengurusan Bersama (JMB), pihak pengurusan turut menyemak perlindungan insurans bagi kegagalan kecerunan (slope failure).

Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Orang Ramai Desa Baiduri untuk menempatkan penduduk terjejas, manakala sebahagian lagi memilih untuk tinggal sementara di rumah saudara-mara.

Dalam pada itu, bekalan air di seluruh kawasan pangsapuri dihentikan sementara, manakala lori tangki akan disediakan bagi membekalkan air bersih kepada penduduk.

Seorang penduduk, Mohd Shah Adhar, 48, berkata kejadian kira-kira pukujl 9.15 malam itu dipercayai berlaku selepas paip bocor menyebabkan limpahan air deras membawa tanah dan mengakibatkan tebing bukit runtuh.

“Air melimpah bergolak bersama tanah dan rumput. Atas faktor keselamatan, pihak bomba mengisytiharkan unit di bahagian tangga tengah dan yang menghadap jalan berhampiran bukit perlu dipindahkan segera,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Syakir Nabil, 32, berkata dia bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada isterinya sejurus selesai solat Isyak.

“Isteri suruh balik cepat sebab jiran-jiran sudah jerit suruh keluar. Bila saya sampai, tiada gegaran dirasai, cuma nampak air lumpur keluar deras dari celah tanah runtuh seperti air terjun,” katanya yang kini menumpang di rumah ibu mertuanya.

Penduduk berharap laporan siasatan dan kerja pembaikan dapat diselesaikan segera oleh JMB serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan kediaman mereka.

Kawasan pangsapuri berkenaan mempunyai empat blok dengan keseluruhan 360 unit kediaman.

Sebanyak 45 unit rumah di Blok D diarahkan dikosongkan serta-merta, membabitkan kira-kira 80 penduduk sebagai langkah keselamatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.