
LA PAZ, 20 Jun – Presiden Bolivia, Rodrigo Paz mengisytiharkan darurat di seluruh negara selepas protes dan sekatan jalan raya berlarutan lebih enam minggu hingga menjejaskan bekalan bahan api, makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas.
- Paz mendakwa protes sebagai cubaan rampasan kuasa oleh kumpulan pengganas yang berkaitan kegiatan dadah dan hubungan dengan bekas Presiden Evo Morales.
- Protes disertai pekerja, petani, pelombong, pemandu lori dan guru yang menolak pembaharuan ekonomi serta menuntut beliau meletak jawatan.
- Sekatan menghalang penghantaran, menyebabkan harga makanan naik, kekurangan ubat di hospital dan penduduk beratur berhari-hari untuk bahan api.
Paz mendakwa tunjuk perasaan itu sebahagian strategi terancang untuk menggugat demokrasi dan kerajaan yang dipilih secara sah.
“Ini adalah cubaan rampasan kuasa yang didorong oleh kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan kegiatan dadah terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik,” katanya.
Beliau menegaskan, pengisytiharan darurat itu bukan bertujuan menghadkan kehidupan rakyat, sebaliknya untuk mengembalikan kebebasan mereka yang terjejas akibat sekatan jalan raya.
Protes antikerajaan itu disertai antaranya pekerja, petani, pelombong, pemandu lori dan guru yang menolak pembaharuan ekonomi pentadbiran Paz serta menuntut beliau meletakkan jawatan.
Sebahagian penunjuk perasaan membuat sekatan jalan raya yang menghalang penghantaran bekalan ke bandar utama termasuk La Paz.
Menurut Pentadbiran Lebuh Raya Bolivia, jumlah sekatan berkurangan daripada lebih 100 kepada 50 lokasi setakat Isnin, namun gangguan bekalan masih berterusan.
Harga daging dan sayur-sayuran di La Paz serta El Alto dilaporkan meningkat sehingga dua kali ganda, manakala hospital berdepan kekurangan ubat-ubatan.
Penduduk juga terpaksa menunggu berhari-hari di stesen minyak untuk mendapatkan bahan api.
Paz berkata, pintu rundingan masih terbuka kepada mereka yang mempunyai tuntutan sah dan bersedia menghentikan sekatan secara sukarela.
“Kepada mereka yang masih menyekat jalan raya, saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa masih ada masa untuk berundur
“Mereka yang terus mencabar aturan Perlembagaan akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Paz baru tujuh bulan memegang jawatan selepas kemenangannya menamatkan pemerintahan sosialis selama 20 tahun di Bolivia.
Beliau sebelum ini mengaitkan protes berkenaan dengan kumpulan pengganas yang terbabit kegiatan dadah serta mempunyai hubungan dengan bekas Presiden Evo Morales. – AFP