Lebih RM80 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif pada 2027

Datuk Seri Anwar membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Lebih RM80 bilion diperuntukkan bagi subsidi, bantuan dan insentif pada tahun depan sebagai sebahagian usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion.
  • Bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat hampir RM3.3 bilion.
  • Aras perlindungan bil elektrik dinaikkan daripada 600 kepada 800 kWh sebulan, manfaat lebih lapan juta pengguna atau 90 peratus domestik.
  • Kelayakan BUDI95 dinaikkan kepada 300 liter sebulan dan BUDI Diesel ditetapkan 400 liter untuk jip dan pikap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion, manakala bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghampiri RM3.3 bilion.

“Isu sara hidup ialah isu utama yang membelenggu rakyat. Kerajaan sentiasa menambah baik dasar bagi memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan pada bulan lalu menaikkan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam kepada 800 kilowatt-jam sebulan, yang memberi manfaat kepada lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik.

Pada tempoh sama, kelayakan BUDI95 turut dinaikkan kepada 300 liter sebulan, manakala BUDI Diesel bagi kenderaan jip dan pikap ditetapkan pada 400 liter sebulan.

“Berdasarkan rekod pada bulan September, kira-kira 100,000 pengguna atau kurang satu peratus menggunakan sepenuhnya kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter.

“Bagi BUDI Diesel pula, sekitar 15,000 pengguna jip dan pikap menggunakan sepenuhnya kelayakan 400 liter yang diberikan,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan, angka itu menunjukkan kelayakan bulanan yang disediakan adalah mencukupi untuk menampung penggunaan rakyat Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.