Jerebu: Taska diminta hentikan aktiviti luar

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 9 Oktober – Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) dinasihatkan menghentikan aktiviti luar susulan jerebu bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara tercemar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan operasi taska mesti mengambil kira bacaan IPU dan mematuhi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta arahan pihak berkuasa.
  • Pengusaha dan ibu bapa digalakkan berbincang untuk mengatur penjagaan mengikut keadaan setempat dan kepentingan terbaik kanak-kanak.
  • Pantau bacaan IPU mengikut Jabatan Alam Sekitar, patuhi nasihat KKM, dan tingkatkan kerjasama demi keselamatan serta kebajikan kanak-kanak.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan keputusan operasi taska perlu mengambil kira bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) semasa serta mematuhi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan arahan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, sekiranya taska masih boleh beroperasi, pengusaha dan ibu bapa digalakkan berbincang bagi menentukan pengaturan penjagaan yang sesuai berdasarkan keadaan setempat, keperluan keluarga dan kepentingan terbaik kanak-kanak.

“KPWKM menasihatkan semua pengusaha taska supaya menghentikan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara tercemar, di samping memastikan persekitaran asuhan sentiasa selamat dan kondusif,” menurut kenyataan itu.

Kementerian memaklumkan sekiranya keadaan masih membolehkan taska beroperasi, pengusaha dan ibu bapa digalakkan berbincang bagi menentukan pengaturan penjagaan yang paling sesuai berdasarkan keadaan setempat, keperluan keluarga dan kepentingan terbaik kanak-kanak.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terpelihara tanpa mengabaikan keperluan ibu bapa, khususnya mereka yang bekerja,” menurut kenyataan itu.

KPWKM turut menggesa pengusaha taska dan ibu bapa memantau bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Kerjasama dan komunikasi yang baik antara pengusaha taska dengan ibu bapa penting bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan kanak-kanak terus terpelihara sepanjang tempoh jerebu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.