
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, antara langkah kerajaan bagi meringankan beban golongan pertengahan (M40) yang turut terhimpit dengan tekanan kos sara hidup.
- Pengurangan kadar cukai: 18% untuk RM70,000 hingga RM100,000, 24% untuk RM100,000 hingga RM150,000, 30% untuk pendapatan melebihi RM1 juta.
- Langkah itu dijangka beri lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
- Skop pelepasan diperluas termasuk penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, yuran pengajian, kasut sukan, langganan AI, vaksin dan pengambilan haiwan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar cukai pendapatan individu pemastautin turut dikurangkan sebanyak satu mata peratusan bagi beberapa banjaran pendapatan bercukai.
Bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000, kadar cukai dikurangkan kepada 18 peratus, manakala bagi banjaran RM100,000 hingga RM150,000, kadarnya diturunkan kepada 24 peratus.
Kerajaan juga, katanya, mengambil pendekatan progresif dengan menyelaraskan kadar cukai bagi individu berpendapatan tinggi melebihi RM1 juta kepada 30 peratus.
“Ini bermakna kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar lagi, pelepasan cukai individu turut diperluas kepada beberapa perbelanjaan, termasuk perkhidmatan penjagaan selepas bersalin serta penjagaan ibu bapa dan datuk nenek.
Bagi penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, skop pelepasan tidak lagi terhad kepada perbelanjaan kesihatan, sebaliknya diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan.
“Pelepasan bagi peralatan sukan turut diperluas kepada pembelian kasut sukan, manakala yuran pengajian dan kemahiran meliputi semua bidang pengajian serta tuisyen anak-anak,” katanya.
Bagi kategori gaya hidup pula, pelepasan diperluas merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI), kos pemvaksinan serta pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.