Gaji minimum naik RM2,000 mulai Jun 2027

Perdana Menteri membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 / Foto JAPEN

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, membabitkan lebih empat juta pekerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mahu merapatkan jurang produktiviti dan upah; pampasan pekerja kepada KDNK hanya 33.9 peratus, memburukkan kos sara hidup.
  • PMKS dengan jualan bawah RM50 juta dikecualikan dari pelaksanaan bagi memberi ruang menyesuaikan model perniagaan.
  • Kerajaan mulakan pembaharuan gaji minimum, memperkenal RM2,500 bagi kerja separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebahagian usaha merapatkan kesenjangan antara produktiviti dan upah pekerja, ketika pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih berada pada kadar 33.9 peratus.

“Kesenjangan produktiviti dan upah pekerja mesti dirapatkan. Beban kos sara hidup berbangkit kerana pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memaklumkan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan dalam pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan turut melaksana pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Menurut beliau, kadar gaji minimum hanya meningkatkan lantai pendapatan, sedangkan upah pekerja mahir masih belum setimpal dengan tahap kelayakan mereka.

“Pada masa sama, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menaikkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.