
KUALA LUMPUR, 9 September – Bank Negara Malaysia (BNM) bersetuju menambah RM5 bilion lagi ke dalam dana pembiayaan khas bagi memastikan kelangsungan operasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
- SJPP dan CGC akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion tahun hadapan.
- Liputan SJPP diperluas kepada syarikat pertengahan semua sektor dengan had jaminan sehingga RM50 juta.
- RM1 bilion jaminan SJPP dikhususkan bagi pengembangan syarikat tempatan melalui M&A; jumlah kemudahan meningkat kepada RM57 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merupakan tambahan daripada RM5 bilion yang disediakan sebelum ini bagi membantu PKS yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.
“Oleh kerana sambutan diterima amat menggalakkan, BNM bersetuju untuk menambah RM5 bilion lagi dana pembiayaan ini,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan; tahun hadapan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) akan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion.
“Liputan SJPP akan diperluas meliputi syarikat pertengahan dalam semua sektor dengan had jaminan turut ditingkatkan sehingga RM50 juta.
“Sebanyak RM1 bilion jaminan SJPP akan dikhususkan bagi menyokong pengembangan syarikat tempatan melalui M&A.
“Ini bermakna bagi tahun 2027, jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan akan ditingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion,” katanya.