
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027, sekali gus membuktikan langkah kerajaan untuk menoktahkan isu doktor kontrak dalam sektor kesihatan.
- Sejak 2023, Kerajaan MADANI melantik lebih 15,000 doktor kontrak secara tetap, termasuk 4,000 pada tahun ini.
- Insentif Pos Basik dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan untuk kira-kira 47,000 anggota paramedik dan jururawat.
- Peruntukan RM200 juta untuk penyumberan pesakit luar, luaskan kerjasama dengan fasiliti swasta dan guna pakar bersara serta pakar swasta.
- SKMM teruskan projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di seluruh negara dengan pelaburan RM1 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak 2023, Kerajaan MADANI telah melantik lebih 15,000 doktor kontrak secara tetap, termasuk 4,000 pada tahun ini.
“Bermakna, selepas ini, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap pegawai perubatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, bagi menghargai sumbangan 47,000 anggota paramedik dan jururawat, kerajaan turut menaikkan bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan.
“Kerajaan juga bersetuju menaikkan Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100 susulan tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang yang meragut nyawa petugas barisan hadapan,” katanya.
Bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit mendapatkan rawatan, peruntukan untuk program penyumberan luar pesakit ke hospital lain ditingkatkan kepada RM200 juta.
Skop kerjasama itu akan diperluas merangkumi penggunaan fasiliti kesihatan swasta, termasuk dewan bedah oleh sektor awam, selain aturan lebih anjal bagi khidmat pakar kerajaan yang bersara dan pakar swasta.
Program berkenaan turut diperluas meliputi saringan bayi baru lahir, ujian genetik pranatal dan rehabilitasi.
Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneruskan pelaksanaan projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara dengan pelaburan RM1 bilion.
Peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion sebelum ini.