Sektor Gig: Pakej RM160 juta tingkat pendapatan, kebajikan pekerja

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pakej bernilai RM160 juta akan dibiayai kerajaan bersama Grab mulai 2027 bagi meningkatkan pendapatan bersih serta menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pakej tingkat pendapatan termasuk peningkatan kadar minimum, bantuan penyelenggaraan, insurans dan caruman PERKESO.
  • Pendapatan bersih dijangka meningkat: pemandu e-hailing median tambah RM227 sebulan, penghantar p-hailing tambah RM100 sebulan.
  • Majlis Perundingan Gig akan runding kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard perlindungan sosial dimuktamad awal 2027.
  • Insentif caruman PERKESO 35% kepada pekerja, 50% jika platform turut menyumbang; insentif KWSP sehingga RM600 setahun; kawal selia oleh APAD dan LPKP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakej itu meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Ini bermakna pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika ini, kira-kira 600,000 rakyat mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dan p-hailing.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, Majlis Perundingan Gig sedang mengadakan rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial pekerja gig yang dijangka dimuktamadkan pada awal 2027.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing.

Insentif itu akan dinaikkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman pekerja.

“Selain itu, lebih 200,000 orang bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori akan menerima insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 70 peratus,” katanya.

Pelepasan cukai PERKESO pula diperluas kepada caruman wajib Skim Lindung Kendiri, manakala pelepasan tambahan sehingga RM150 diberikan bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.

Bagi menggalakkan simpanan persaraan, kerajaan menawarkan insentif caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pemandu e-hailing dan p-hailing sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup.

Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank pula menyediakan RM270 juta bagi membiayai pekerja gig yang mahu berniaga serta membeli rumah pertama.

Kerajaan juga akan mengawal selia sektor p-hailing secara menyeluruh di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.