Pelan MediAsas dilancar Januari 2027, premium mampu milik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan akan melancarkan Pelan MediAsas mulai Januari 2027 pada harga premium mampu milik bagi membantu rakyat mendapatkan perlindungan kesihatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembayaran hospital ditetapkan berdasarkan diagnosis dan rawatan; bil hospital swasta guna kategori caj seragam dan rekod perubatan elektronik satu individu satu rekod.
  • Ahli KWSP bawah 55 dibenarkan guna Akaun Sejahtera untuk bayar premium; subsidi RM200 tahun pertama untuk PKS terhad 50 pekerja setiap syarikat.
  • Peruntukan Dana Bantuan Perubatan dinaikkan kepada RM60 juta; MySalam, PeKa B40 dan program BuAi serta saringan talasemia diperluas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi pelan itu, bayaran hospital akan ditentukan berdasarkan jenis diagnosis dan rawatan bagi memastikan kos lebih terkawal serta mudah dijangka.

Katanya, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun dibenarkan membayar premium MediAsas menggunakan Akaun Sejahtera.

“Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja, kerajaan akan memberikan subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja, terhad kepada 50 pekerja bagi setiap syarikat.

“Inisiatif itu dijangka memanfaatkan sehingga 200,000 pekerja,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha meningkatkan ketelusan kos rawatan swasta, rekod perubatan elektronik akan diperluas berasaskan prinsip satu individu, satu rekod.

“Mulai 2027, bil hospital swasta akan menggunakan kategori caj yang seragam dan telus bagi membantu pesakit memahami setiap bayaran serta mengurangkan herotan harga,” katanya.

Kerajaan turut membangunkan portal e-CKAPS bagi membolehkan urusan pelesenan fasiliti kesihatan swasta dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian mulai 2027, dengan tempoh pemprosesan disasarkan berkurangan sehingga 65 peratus.

Sementara itu, katanya, kerajaan meningkatkan peruntukan Dana Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta berbanding RM40 juta sebelum ini bagi membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan rawatan.

“Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan berusia 40 tahun ke atas turut ditawarkan saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan serta insentif rawatan kanser menerusi skim PeKa B40 dengan peruntukan RM80 juta,” katanya.

Selain itu, Datuk Seri Anwar berkata, skim MySalam akan diteruskan pada 2027 selepas memanfaatkan 1.6 juta rakyat dengan jumlah tuntutan sebanyak RM1.3 bilion sejak diperkenalkan.

Katanya, program BuAi pula menawarkan rawatan kesuburan mampu milik kepada 2,000 pasangan serta perkhidmatan kesejahteraan lelaki kepada 42,000 individu.

“Kerajaan juga akan memperluas saringan talasemia percuma kepada suami dan anak kepada pembawa penyakit itu bagi mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan talasemia major,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.