Wan Arif optimis bina keserasian dengan Muhammad Faiq

Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi / Foto Berita RTM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi menyahut cabaran secara positif selepas dirinya digandingkan dengan Muhammad Faiq Haziq Masawi menjelang Kejohanan Badminton Allianz Malaysia Super 100 pada minggu hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keserasian memerlukan masa tetapi optimis dapat diatasi melalui latihan dan bimbingan jurulatih.
  • Sokongan jurulatih serta pemain senior memberi semangat dan membantu proses penyesuaian.
  • Gabungan dua pemain kidal berpotensi beri kelebihan taktikal. Mereka akan uji keserasian di kejohanan Indonesia dan Taipei.

Wan Arif mengakui keserasian antara kedua-dua pemain memerlukan sedikit masa, namun optimis perkara itu dapat diatasi menerusi latihan dan bimbingan daripada jurulatih.

“Pada fasa awal, memang ada rasa serabut dan banyak perkara perlu difikirkan apabila berdepan dengan situasi baharu. Pada masa sama, apabila dipertimbangkan semula, bukan hanya saya menghadapi pertukaran pasangan, malah pemain lain turut mengalami perkara sama.

“Selepas berbincang dengan jurulatih dan pemain senior, saya menerima banyak sokongan dan semangat daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Anak kelahiran Terengganu itu turut menyatakan, persamaan mereka sebagai pemain kidal berpotensi memberikan kelebihan dalam corak permainan sekiranya disusun dengan taktikal yang bijak.

Menurutnya, gandungan dua pemain kidal masih jarang ditemukan terutamanya di pentas sukan antarabangsa.

“Pihak lawan mungkin berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri kerana kebiasaanya mereka bertemu dengan padangan sama ada dua pemain tangan kanan atau gabungan pemain tangan kanan dan kidal,” katanya lagi.

Kejohanan Badminton Allianz Malaysia Super 100 2026 akan berlangsung pada 13 hingga 18 Oktober 2026 di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.

Selain itu, Wan Arif dan Muhammad Faiq turut dijadual menyertai kejohanan di Indonesia dan Taipei bagi menguji tahap keserasian serta menilai kemampuan mereka sebelum meneruskan cabaran dalam saingan akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.