Rundingan AS-Iran tangguh: Pakistan pergiat inisiatif sebagai perantara

Kenderaan melalui Dataran Enghelab di Tehran, dengan bendera kebangsaan Iran terpampang pada sebuah bangunan. / Foto AFP

TEHRAN, 20 Jun – Pakistan mempergiat inisiatif sebagai perantara bagi usaha damai Iran dan Amerika Syarikat (AS) selepas rundingan kedua-dua negara yang dijadualkan berlangsung di Switzerland ditangguhkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohsin Naqvi tiba di Mashhad untuk meneruskan usaha diplomatik Islamabad.
  • Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Eskandar Momeni dan Abbas Araghchi.
  • Perbincangan di Switzerland ditangguhkan selepas serangan Israel ke atas Lubnan; tarikh baharu belum diumumkan.
  • Iran dan AS memeterai MoU selepas gencatan senjata April, membuka jalan untuk rundingan lanjut termasuk isu program nuklear Iran.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi tiba di bandar Mashhad, timur laut Iran pada Sabtu bagi meneruskan usaha diplomatik Islamabad.

Agensi berita Tasnim melaporkan, Naqvi dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni dan Menteri Luar, Abbas Araghchi sepanjang lawatan itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, kunjungan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Pakistan untuk membantu rundingan antara Tehran dengan Washington.

Iran dan AS pada awalnya dijadual mengadakan rundingan di Switzerland pada Jumaat selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menamatkan konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, pertemuan itu ditangguhkan susulan serangan Israel ke atas Lubnan dan tarikh baharu masih belum diumumkan.

Konflik berkenaan bermula pada 28 Februari susulan serangan AS-Israel yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa komander kanan tentera.

Iran kemudian melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron sehingga pertempuran itu turut membabitkan beberapa negara di rantau berkenaan.

Gencatan senjata pada April menghentikan pertempuran paling sengit sebelum Iran mengumumkan pemeteraian perjanjian dengan AS pada Khamis bagi menamatkan permusuhan.

Perjanjian itu membuka jalan kepada rundingan lanjut mengenai penyelesaian lebih menyeluruh, termasuk pertikaian berhubung program nuklear Iran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.