
PETALING JAYA, 23 September – Kempen Pemilikan Rumah (HOC) Khas disyorkan untuk diperkenalkan menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu mengurangkan jumlah kediaman siap dibina yang masih tidak terjual.
- Cadangan pelepasan duti setem diperluas kepada hartanah berharga RM500,000 hingga RM1 juta bagi 2027 untuk ringankan beban pembeli rumah pertama.
- Perkukuh Skim Jaminan Kredit Perumahan dan mekanisme pembiayaan fleksibel untuk bantu golongan muda, pekerja sendiri dan ekonomi gig dapatkan pembiayaan.
- Lanjutkan Insentif Cukai Teknologi Hijau dan Insentif Cukai Hijau selama 10 tahun serta pengecualian duti setem untuk rumah hijau bertauliah.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Zaini Yusoff menyifatkan langkah itu sebagai intervensi segera untuk meningkatkan penyerapan unit sedia ada.
Pada masa sama, membantu mengimbangi bekalan dan permintaan perumahan dalam jangka panjang.
“Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026 hingga 2035 memberi tumpuan kepada penyelarasan bekalan perumahan dengan permintaan sebenar menerusi perancangan berasaskan data.
“Data tersebut dapat membantu menangani ketidakpadanan bekalan dan permintaan pada masa hadapan.
“Namun, intervensi segera diperlukan bagi membantu penyerapan unit kediaman siap dibina yang masih tidak terjual,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2026 serta Kajian Pasaran untuk Separuh Kedua 2026 dan Separuh Pertama 2027, di sini, hari ini.
Dalam usaha mengurangkan beban pembeli rumah pertama pula, REHDA mengesyorkan pelepasan duti setem diperluas kepada hartanah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2027.
Datuk Zaini berkata, ramai bakal pembeli khususnya golongan B40 mempunyai kemampuan untuk membayar ansuran bulanan, namun berdepan kesukaran menyediakan kos awal pembelian termasuk menyediakan deposit 10 peratus.
REHDA turut mencadangkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) serta mekanisme pembiayaan atau jaminan perumahan diperkasa bagi meningkatkan keupayaan pembeli rumah pertama mendapatkan pembiayaan.
Menurut beliau, langkah itu dapat membantu golongan muda, individu bekerja sendiri, pekerja ekonomi gig serta mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap atau bukan konvensional mendapatkan akses pembiayaan yang lebih fleksibel.
Pada masa sama, semakan bersepadu turut disyorkan terhadap kos dan keperluan kawal selia dalam pembangunan perumahan, termasuk melibatkan infrastruktur, utiliti, caj berkanun, peraturan serta pematuhan.
Jelas Datuk Zaini, sebarang dasar, peraturan, piawaian atau caj baharu yang memberi kesan kepada pembangunan kediaman perlu mengambil kira Indeks Kemampuan Kewangan sebelum dilaksana.
Bagi menggalakkan pembangunan hartanah hijau, REHDA turut mencadangkan pelanjutan Insentif Cukai Teknologi Hijau (GITA) dan Insentif Cukai Hijau (GITE) untuk tempoh 10 tahun lagi.
Persatuan itu juga mengesyorkan pengecualian duti setem kepada pembeli rumah hijau yang diperakui, dengan kadar pengecualian berbeza berdasarkan penarafan pensijilan hijau yang diiktiraf.
Kesemua cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.