
PETALING JAYA, 23 September – Kos kerja tanah dan infrastruktur meningkat lebih 20 peratus susulan kenaikan harga bahan binaan, khususnya produk berkaitan diesel seperti bitumen, akibat ketidaktentuan harga minyak global.
- Kenaikan kos memberi tekanan kepada projek infrastruktur; kos purata meningkat sekitar 13%, impak pembinaan bangunan sekitar 3 hingga 5 peratus.
- Kajian Institut REHDA (Julai-Ogos 2026) membabitkan 181 ahli menilai prestasi separuh pertama 2026 dan prospek seterusnya.
- Sebanyak 81 peratus responden melaporkan peningkatan kos menjalankan perniagaan pada separuh pertama 2026.
- 63 peratus responden hadapi kenaikan harga bahan, kekurangan dan bekalan tidak konsisten; 59 peratus melaporkan unit siap masih belum terjual.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Zaini Yusoff berkata, kenaikan itu memberi tekanan kepada kos projek, terutama pembangunan yang melibatkan pembinaan jalan raya dan landasan kereta api yang menggunakan bitumen.
“Jadi, bagi projek yang melibatkan pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan landasan kereta api yang menggunakan bitumen, kenaikan itu benar-benar memberi kesan kepada kos projek.
“Seperti yang saya nyatakan, kenaikan kos secara purata adalah sekitar 13 peratus. Bagi kerja pembinaan bangunan biasa, impaknya lebih rendah iaitu sekitar tiga hingga lima peratus,” katanya pada taklimat media Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2026 dan Kajian Pasaran bagi Separuh Kedua 2026 serta Separuh Pertama 2027, di sini hari ini.
Kajian yang dijalankan Institut REHDA dari Julai hingga Ogos 2026 itu membabitkan 181 ahli persatuan bagi menilai prestasi pasaran pada separuh pertama 2026 serta prospek pasaran bagi separuh kedua tahun ini dan separuh pertama 2027.
Berdasarkan tinjauan itu, sebanyak 81 peratus responden melaporkan peningkatan kos menjalankan perniagaan pada separuh pertama 2026, berbanding 74 peratus pada separuh kedua 2025.
Dalam tempoh sama, sebanyak 63 peratus responden berdepan cabaran berkaitan pembinaan, khususnya peningkatan harga bahan binaan, kekurangan bekalan serta bekalan yang tidak konsisten.
Sementara itu, isu kediaman siap tidak terjual turut kekal sebagai cabaran kepada pemaju apabila 59 peratus responden melaporkan mempunyai unit siap yang masih belum terjual setakat 30 Jun 2026.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan itu ialah kadar penolakan pembiayaan akhir yang masih tinggi, peningkatan harga hartanah serta unit Bumiputera yang masih belum dilepaskan.