
PHNOM PENH, 23 September – Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menegaskan negara itu tidak akan menjadi tempat perlindungan bagi sindiket penipuan siber rentas negara.
- Kerajaan sokong peningkatan kerjasama antarabangsa, termasuk perkongsian maklumat risikan, bagi menangani penipuan siber rentas negara.
- Pihak berkuasa dakwa membanteras operasi pusat penipuan berskala besar, namun penganalisis persoal sama ada dalang utama ditangkap.
- Sindiket, kebanyakannya diketuai warga China, mengendalikan kompleks penipuan; mangsa diperdagangkan dan dipaksa menjalankan pelbagai skim penipuan.
Kenyataan itu ditegaskan ketika membuka persidangan global mengenai penipuan siber pada Rabu.
Persidangan itu menghimpunkan perwakilan dari lebih beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat dan China, ketika kerajaan Kemboja berusaha mengetengahkan tindakan tegasnya membanteras industri penipuan siber yang bernilai berbilion dolar.
“Kemboja tidak akan menjadi tempat selamat bagi kegiatan penipuan dalam talian,” kata Hun Manet dalam ucapan pembukaan persidangan di sini.
Beliau berkata Kemboja tidak akan membenarkan sindiket jenayah menjejaskan kemajuan negara serta kehidupan lebih 17 juta rakyatnya.
Pada masa sama, beliau menyatakan sokongan Kemboja terhadap peningkatan kerjasama antarabangsa, termasuk perkongsian maklumat risikan bagi menangani kegiatan penipuan siber rentas negara.
Pihak berkuasa Kemboja mendakwa telah membanteras operasi pusat penipuan berskala besar.
Namun dakwaan itu dipersoalkan oleh sesetengah penganalisis yang berpendapat serbuan dilakukan setakat ini masih gagal menangkap dalang utama yang mengendalikan kegiatan berkenaan.
Kemboja, bersama beberapa negara Asia Tenggara lain, muncul sebagai antara hab utama industri penipuan siber rentas negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kumpulan jenayah yang kebanyakannya diketuai warga China mengendalikan kompleks penipuan di negara berkenaan, dengan mangsa pemerdagangan manusia ditahan dan dipaksa menjalankan pelbagai penipuan termasuk penipuan percintaan, penyamaran sebagai pegawai polis serta skim penipuan lain. – REUTERS.