
PARIS, 20 Oktober – Presiden Perancis Emmanuel Macron memperoleh komitmen bekalan tambahan 200,000 tan diesel sebulan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain ketika lawatan ke rantau Teluk, menurut pejabat presiden Perancis pada Selasa.
- Macron lawat negara pembekal tenaga Teluk untuk menjamin bekalan minyak dan diesel serta menurunkan harga bahan api selepas protes ganas berkaitan kos sara hidup.
- Dengan tambahan bekalan dari Arab Saudi, Perancis memperoleh komitmen 295,000 tan diesel sebulan, bersamaan lebih 10 peratus penggunaan negara.
- Kuwait komited membekalkan diesel dan minyak tanah ke Mayotte dan Réunion, penghantaran melalui Oman untuk mengelakkan Selat Hormuz.
- Perbincangan dengan negara rantau bertujuan mengurangkan kos insurans maritim, membolehkan lebih banyak pengangkutan melalui selat pada kos lebih rendah.
Istana Élysée berkata UAE bersetuju membekalkan kira-kira 100,000 tan diesel sebulan, manakala tambahan 100,000 tan sebulan akan diperoleh menerusi komitmen Bahrain semasa persinggahan Macron di negara itu lewat hari ini.
Dengan tambahan bekalan dari Arab Saudi, Perancis kini memperoleh komitmen bekalan sebanyak 295,000 tan diesel sebulan, bersamaan lebih 10 peratus daripada penggunaan negara itu, menurut kenyataan berkenaan.
Macron mengadakan lawatan ke negara pembekal tenaga utama di Teluk bagi menjamin bekalan minyak dan diesel serta menurunkan harga bahan api di Perancis, susulan protes ganas hujung minggu lalu yang tercetus akibat peningkatan kos sara hidup.
Beliau melawat UAE, Bahrain dan Qatar, yang semuanya terjejas akibat pergolakan sejak perang Amerika Syarikat (AS)-Iran tercetus pada Februari.
Harga minyak mentah melonjak sepanjang konflik lapan bulan itu apabila Iran menyekat Selat Hormuz, laluan utama eksport tenaga dari rantau Teluk.
Negara anggota Kumpulan Tujuh (G7), yang dipengerusikan Perancis tahun ini, bersetuju pada awal Oktober untuk mengeluarkan sehingga 100 juta tong minyak daripada simpanan strategik bagi mengurangkan tekanan terhadap pasaran.
Kuwait juga memberikan “komitmen yang sangat jelas” untuk membekalkan diesel dan minyak tanah ke wilayah seberang laut Perancis, Mayotte dan Réunion, di Lautan Hindi, menurut pejabat presiden itu.
Bekalan berkenaan akan dihantar melalui Oman bagi mengelakkan Selat Hormuz.
Perbincangan turut diadakan dengan negara-negara di rantau itu bagi mengurangkan kos insurans maritim, sekali gus membolehkan syarikat perkapalan mengangkut lebih banyak bekalan melalui selat berkenaan pada kos lebih rendah.
“Dengan cara ini, kami memperkukuh keselamatan tenaga menerusi komitmen jangka panjang daripada rakan kongsi kami,” menurut kenyataan Istana Élysée. – AFP.