Ringgit terus mengukuh, malaysia kembali jadi tumpuan pelabur

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mei -Prestasi ringgit Malaysia yang semakin mengukuh disifatkan sebagai mesej jelas negara kembali muncul menjadi destinasi ekonomi dan pelaburan diyakini di rantau Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • IMF semak naik unjuran KDNK Malaysia kepada 4.7 peratus bagi 2026, menandakan landasan ekonomi lebih kukuh.
  • Ringgit mengukuh disokong pertumbuhan mampan, aliran masuk pelaburan asing, kestabilan politik dan reformasi ekonomi.
  • Prestasi mata wang meletakkan Malaysia antara peneraju Asia, mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara.
  • Pengukuhan ringgit bukan sekadar angka tetapi simbol keyakinan dunia dan tarikan semula pelaburan ke Malaysia.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkembangan itu juga disokong oleh unjuran ekonomi yang lebih baik oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sekaligus mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran Malaysia MADANI.

“CNBC Indonesia melaporkan ringgit mencatatkan peningkatan sekitar 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga penghujung April 2026, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan teratas dalam prestasi mata wang Asia, diikuti China dan Singapura. Apa yang lebih membanggakan, pengukuhan ini bukan berlaku secara sementara atau bersifat spekulatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kekuatan ringgit itu disokong beberapa faktor termasuk pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, aliran masuk pelaburan asing yang positif, kestabilan politik, reformasi ekonomi yang jelas serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan dan Bank Negara Malaysia.

“Pengukuhan ringgit bukan sekadar angka di pasaran kewangan tetapi simbol keyakinan dunia terhadap kestabilan dan masa depan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan sama.

Katanya, semakan naik unjuran ekonomi negara itu juga menunjukkan Malaysia berada pada landasan ekonomi lebih kukuh berbanding banyak negara lain.

Ini didorong oleh permintaan domestik yang mantap, asas eksport pelbagai serta keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negara.

Sebelum ini, dalam laporan World Economic Outlook (WEO) April 2026, IMF menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.7 peratus bagi 2026, berbanding 4.3 peratus yang diunjurkan dalam laporan WEO Januari 2026.

Semakan itu dibuat ketika IMF menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi tahun ini susulan lonjakan harga tenaga serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik Iran.