Selat Hormuz : ASEAN bimbang gangguan jejas ekonomi serantau

Menteri-Menteri Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kesan ekonomi/ Facebook ASEAN

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Menteri-Menteri Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) menyuarakan kebimbangan terhadap gangguan di laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz yang dilihat memberi risiko kepada ekonomi serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • ASEAN menekankan kepentingan memastikan laluan perdagangan antarabangsa terus terbuka, selamat serta kebebasan navigasi mengikut undang-undang antarabangsa.
  • Gangguan di Selat Hormuz berpotensi menjejaskan pasaran tenaga, rantaian bekalan, keselamatan makanan serta meningkatkan kos logistik dan insurans.
  • Kesan krisis dijangka melangkaui tenaga, mencetuskan tekanan inflasi, ketidaktentuan mata wang serta menjejaskan PMKS dan pertumbuhan ekonomi serantau.

Menerusi kenyataan bersama yang dimuat naik di laman rasmi Facebook ASEAN menegaskan kepentingan memastikan laluan perdagangan antarabangsa kekal terbuka dan selamat, termasuk menjamin kebebasan navigasi serta laluan transit tanpa gangguan selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Situasi tersebut disifatkan berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global, rantaian bekalan, keselamatan makanan serta rangkaian pengangkutan dan logistik.

“Selat Hormuz mengendalikan kira-kira satu perempat eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, dengan lebih 80 peratus daripadanya dihantar ke Asia.

“Gangguan di laluan berkenaan turut menyumbang kepada ketidaktentuan harga minyak dan LNG, selain meningkatkan kos logistik, insurans dan pengangkutan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama kesan krisis tersebut dijangka melangkaui sektor tenaga, termasuk mencetuskan tekanan inflasi, ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang serta keadaan kewangan global yang lebih mencabar.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikenal pasti antara yang paling terkesan, sekali gus berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi rantau ini.