Bursa Malaysia diunjur dalam jajaran kecil 1,700-1,730 minggu depan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mei -Indeks penanda aras Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam jajaran kecil antara paras 1,700 hingga 1,730 minggu depan susulan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketiadaan pemangkin positif mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap pasaran domestik.
  • Ketegangan geopolitik dan harga minyak tinggi mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi serta tekanan kos.
  • Turun naik dijangka berterusan ketika pelabur memantau perkembangan di Asia Barat dan harga minyak global.
  • Saham berkaitan tenaga dijangka menerima sedikit sokongan, namun penyertaan pasaran kekal sederhana dan defensif.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, pergerakan itu didorong oleh ketiadaan pemangkin positif yang mampu merangsang sentimen pasaran secara menyeluruh.

“Kami mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap pasaran domestik walaupun terdapat aktiviti belian saham semasa harga murah secara terpilih.

Ketegangan geopolitik yang berterusan dan harga minyak mentah yang tinggi mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi dan tekanan kos,” katanya.

Menurut beliau, turun naik pasaran dijangka berterusan apabila pelabur terus memantau perkembangan di Asia Barat serta pergerakan harga minyak global.

Katanya, walaupun saham berkaitan sektor tenaga dijangka menerima sedikit sokongan, penyertaan pasaran secara keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan kebanyakan pelabur masih mengambil pendekatan defensif.

Pada asas Khamis kepada Jumaat, FBM KLCI mencatatkan kenaikan 1.68 mata kepada 1,722.02 berbanding 1,720.34 pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 8.86 bilion unit bernilai RM111.94 bilion berbanding 9.93 bilion unit bernilai RM13.66 bilion yang direkodkan sebelum ini.

Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE turut berkurangan kepada 1.47 bilion unit bernilai RM553.62 juta daripada 2.06 bilion unit bernilai RM812.77 juta.