KDNK: Ekonomi Malaysia diunjur kekal berdaya tahan pada suku kedua

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Prestasi ekonomi Malaysia dijangka kekal dalam momentum yang positif menjelang pengumuman rasmi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua dan separuh pertama 2026, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun menghadapi persekitaran global yang mencabar.
  • Pembaharuan pasca pandemik memperkukuh rantaian bekalan dan memastikan eksport negara terus berdaya tahan.
  • Pertumbuhan positif penting untuk membina keyakinan dan merancakkan pelaburan, termasuk pelaburan domestik.
  • Pertumbuhan mesti diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup melalui kenaikan gaji dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Associates, Prof Madya Dr Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid berkata, daya tahan ekonomi negara masih mempamerkan pengukuhan biarpun berdepan persekitaran global yang mencabar.

“Ekonomi Malaysia masih lagi menunjukkan ketahanan berbanding dengan ekonomi negara luar, jika kita melihat angka yang akan diumumkan, agak memberangsangkan, mengambil kira apa yang sedang berlaku dalam isu geopolitik, harga minyak dan juga beban fiskal kerajaan untuk menampung subsidi dan sebagainya,” katanya selepas program Biz Malaysia.

Tambahnya, prestasi itu turut disokong usaha pembaharuan yang dilaksanakan pasca pandemik COVID-19, khususnya dalam memperkukuh rantaian bekalan dan memastikan eksport negara kekal berdaya tahan.

Beliau menjelaskan, angka pertumbuhan yang positif juga penting dalam membina keyakinan dan momentum bagi merancakkan pelaburan, termasuk pelaburan domestik.

“Negeri yang mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh seperti Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor juga boleh memanfaatkan momentum itu untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur, seterusnya memperkukuh ekonomi negara,” jelasnya.

Mengulas sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus peratus bagi keseluruhan tahun ini, beliau berkata ia merupakan kadar yang munasabah, mengambil kira kadar pertumbuhan ekonomi global yang hanya sekitar tiga hingga 3.5 peratus.

Katanya, pertumbuhan ekonomi bagaimanapun perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat, khususnya melalui pertumbuhan gaji dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.

“Secara relatifnya, kita menunjukkan prestasi yang lebih baik, tetapi sangat penting angka-angka ini mencerminkan kualiti hidup, terutama golongan berpendapatan rendah. Gaji mesti meningkat dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi perlu dipercepatkan.

Kita melahirkan ramai graduan dan perlu ada peluang pekerjaan yang lebih baik serta memberikan nilai jangka panjang kepada mereka, bukan sekadar pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan atau pengangguran,” tambah beliau.

Anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini menunjukkan ekonomi berkembang 5.8 peratus pada suku kedua, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama, dengan pertumbuhan separuh pertama tahun ini dianggarkan 5.6 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.