Bekas COO TH didakwa lagi terima kos ubah suai rumah RM8,882

Adi Azuan Abdul Ghani, 56, tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini untuk pertuduhan terima kos pengubahsuaian rumah bernilai lebih RM8,000/ RTM

KUALA LUMPUR, 25 September- Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima kos pengubahsuaian sebuah rumah bernilai RM8,882.77, sembilan tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Adi Azuan Abdul Ghani mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
  • Didakwa menerima kos pengubahsuaian daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail, berkaitan urusan semasa berkhidmat sebagai COO TH.
  • Pertuduhan melibatkan kes di Bandar Sri Damansara pada 7 Mac 2017 bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan; hukuman sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM50,000; semalam beliau juga didakwa di Shah Alam atas tiga pertuduhan sama; sebutan semula ditetapkan 25 November.

Adi Azuan Abdul Ghani, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang ketika itu merupakan COO TH didakwa menerima sesuatu yang bernilai sebagai balasan yang diketahuinya tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian sebuah rumah daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail.

Dia didakwa menerima kos pengubahsuaian itu yang mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankannya ketika berkhidmat sebagai COO TH.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara di sini pada 7 Mac 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Adi Azuan menggunakan ikat jamin RM50,000 serta syarat tambahan seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November ini.

Semalam, Adi Azuan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan sama, iaitu menerima kos pengubahsuaian tiga rumah berjumlah RM302,499.27, dan turut mengaku tidak bersalah.

Berikutan kes di Kuala Lumpur mempunyai fakta dan saksi yang sama dengan kes di Shah Alam, Hakim Suzana memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam seperti dipohon pihak pendakwaan dan dipersetujui pihak pembelaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.