170 kg minyak masak dirampas, lelaki warga Thailand ditahan

Beberapa kotak minyak masak dipercayai untuk diseludup ke negara jiran/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 25 September – Sebanyak 170 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM425 dirampas selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan seorang lelaki warga Thailand di Banggol Kong, Kelantan, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas dikesan memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan sekitar 11.45 malam.
  • Pemeriksaan kenderaan menemui stok minyak masak dipercayai untuk diseludup masuk melalui pangkalan haram.
  • Bekalan diperoleh daripada kedai runcit dan kedai borong sebelum dikumpul untuk tujuan penyeludupan.
  • Suspek dan barang kes diserahkan kepada KPDN; kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 11.45 malam.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan menemukan 170kg minyak masak yang dipercayai untuk diseludup masuk ke Thailand melalui pangkalan haram.

“Siasatan awal mendapati bekalan minyak masak berkenaan diperoleh dari kedai runcit dan kedai borong di Kota Bharu serta Pasir Mas sebelum dikumpulkan untuk dibawa masuk ke Thailand,” katanya.

Suspek bersama kenderaan dan barang kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.