
KUALA LUMPUR, 24 September – Sebanyak RM60 juta potensi jualan dan pelaburan disasarkan menerusi penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) halal serta koperasi pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
- MIHAS terus menjadi platform penting untuk membuka peluang usahawan dan koperasi tempatan menembusi pasaran halal global.
- KUSKOP membantu pemadanan perniagaan, bimbingan pematuhan pembungkusan antarabangsa, akses ekosistem eksport dan bantu lebih 3,000 PMKS dapat pensijilan halal.
- Tiga inisiatif kolaborasi bersama rakan industri dilancar untuk pendigitalan, pematuhan halal dan pemodenan peralatan pengeluaran; enam produk PMKS turut memperoleh pensijilan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata sasaran itu meningkat berbanding RM30 juta tahun lepas, dengan 43 pempamer menyertai Pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), berbanding 32 usahawan pada edisi sebelumnya.
Beliau berkata MIHAS menjadi platform penting untuk membuka peluang kepada usahawan dan koperasi tempatan menembusi pasaran halal global.
“Ini merupakan pameran halal yang saya rasa cukup penting, bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia.”
“Tahun ini di Pavilion KUSKOP, kita telah membawa lebih kurang 43 usahawan PMKS Malaysia dan sasaran jualan tahun ini, kita harap syarikat-syarikat yang hadir boleh mencapai atau mencecah 60 juta ringgit. Ini sasaran kita.”
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pavilion KUSKOP di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, MITEC, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Sim turut memaklumkan bahawa KUSKOP turut membantu usahawan mendapatkan pemadanan perniagaan, bimbingan berkaitan pematuhan piawaian pembungkusan antarabangsa serta akses kepada ekosistem sokongan eksport.
“Di bawah KUSKOP, memang dalam masa lebih kurang 5 tahun kebelakangan ini kita telah membantu lebih 3,000 syarikat PMKS termasuk koperasi yang membawa produk-produk mereka untuk pensijilan halal.”
Tiga inisiatif kolaborasi strategik bersama rakan industri turut dilancarkan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan halal negara.
“Dengan kerjasama yang lebih erat dengan MyMIHAS, saya yakin kita bukan sahaja dapat memudah cara proses membantu usahawan kita ke arah pensijilan halal, tetapi juga mempercepatkan proses untuk membantu produk usahawan kita mencapai status halal,” katanya.
Tiga inisiatif itu membabitkan kerjasama bersama Maxis Berhad, Malaysia International Halal Academy, MyRS MIHA serta Zull Design Autotronic, masing-masing memfokuskan pendigitalan, pematuhan halal serta pemodenan peralatan pengeluaran.
Turut dilancarkan enam produk PMKS dan koperasi yang baharu memperoleh Pensijilan Halal Malaysia untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
MIHAS 2026 berlangsung dari 23 hingga 26 September ini.