Enam maut dalam kebakaran resort tepi pantai di Bangladesh

Gambar Hiasan/RTM

DHAKA, 16 Oktober – Sekurang-kurangnya enam pelancong maut manakala enam lagi cedera dalam kebakaran sebuah resort tepi pantai di Cox’s Bazar, Bangladesh, yang merupakan destinasi pelancongan utama negara itu, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran memusnahkan Tuptup Restro and Resort di Pantai Patuartek, dengan keseluruhan premis dijilat api.
  • Anggota bomba menemui mayat rentung di dalam resort; beberapa mangsa cedera diselamatkan dan dikejarkan ke hospital.
  • Tiga jentera bomba dikerahkan, mengambil masa hampir dua jam memadam kebakaran; punca masih belum dikenal pasti dan disiasat.

Pegawai Jabatan Bomba dan Pertahanan Awam, Dolon Acharya berkata kebakaran berlaku pada sebelah pagi di Tuptup Restro and Resort di Pantai Patuartek, kira-kira 320 kilometer di tenggara ibu negara, Dhaka, menyebabkan keseluruhan premis itu musnah dijilat api.

Beliau berkata anggota bomba menemukan enam mayat rentung di dalam resort berkenaan, manakala enam orang yang cedera berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke hospital.

Sebanyak tiga jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa hampir dua jam untuk memadam kebakaran itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Pertahanan Awam, Talha Bin Jasim berkata mangsa yang maut terdiri daripada lima wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, dengan kebanyakan mereka datang dari Dhaka.

Resort yang terletak di sepanjang laluan pesisir pantai Marine Drive itu beroperasi dalam bangunan dua tingkat yang berstruktur kayu dan menawarkan penginapan berkonsepkan mesra alam dengan pemandangan laut serta kawasan berbukit, menurut laman sesawangnya.

Punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Ketua Pentadbir Daerah, M A Mannan berkata siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menilai kerosakan yang berlaku.

Cox’s Bazar terkenal dengan pantai berpasir yang panjang di pesisir Teluk Benggala serta menjadi destinasi pelancongan utama Bangladesh yang menerima lebih tiga juta pengunjung setiap tahun.

Menurut Biro Perangkaan Bangladesh, kebanyakan pengunjung ke kawasan itu merupakan pelancong domestik. -BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.