Isu petrol bercampur air: Tujuh stesen minyak disiasat, 27 sampel diambil

KPDN Selangor memeriksa antara tujuh stesen minyak susulan aduan dakwaan petrol dicemari air/Foto KPDN Selangor

SHAH ALAM, 17 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengambil 27 sampel petrol RON95 dan menyiasat tujuh stesen minyak susulan aduan berhubung dakwaan pencemaran air dalam petrol yang menjejaskan kenderaan pengguna di beberapa kawasan di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN menerima 10 aduan rasmi melibatkan beberapa premis stesen minyak berhubung kualiti petrol.
  • Pusat servis pengeluar kenderaan mengesahkan beberapa kerosakan enjin berpunca daripada pencemaran air dalam tangki bahan api.
  • Semua stesen diperiksa mempunyai Lesen Kebenaran Khas dan lesen bawah Akta Kemajuan Petroleum yang masih sah.
  • Pengguna dinasihatkan menyimpan resit dan laporan bengkel serta menghubungi KPDN untuk membuat aduan atau maklumat lanjut.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, berkata siasatan lapangan itu susulan aduan orang awam serta laporan tular di media sosial mengenai beberapa kenderaan mengalami masalah teknikal selepas mengisi petrol.

“Antara masalah dilaporkan termasuk enjin tersengguk-sengguk, kehilangan kuasa, gagal dihidupkan termasuk bunyi tidak normal dan kejadian enjin terbakar.

“KPDN Selangor menerima 10 aduan rasmi yang membabitkan tujuh premis stesen minyak. Sebanyak 27 sampel petrol RON95 diambil daripada pam pengisian di stesen terbabit sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis makmal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut oleh pusat servis pengeluar kenderaan turut mengesahkan kerosakan enjin bagi sesetengah kenderaan berpunca daripada pencemaran air dalam tangki bahan api.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati semua stesen minyak berkenaan mempunyai Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.

Oleh itu, KPDN Selangor mengeluarkan notis mengikut Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menghendaki pemilik premis mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan perniagaan untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan berhubung kemungkinan pelanggaran Seksyen 5(1)(c) bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 akta sama.

Beliau turut mengingatkan syarikat minyak dan pengusaha stesen supaya memastikan tangki simpanan bawah tanah diselenggara secara berkala serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

“Pengguna yang terjejas dinasihatkan menyimpan resit rasmi pengisian petrol dan laporan pemeriksaan bengkel sebagai dokumen sokongan bagi tujuan aduan serta membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kualiti petrol, termasuk dakwaan pencemaran air, boleh menghubungi KPDN Selangor melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.