20 ekor lembu seludup dari Thailand, seorang lelaki ditahan

Pemandu lori berusia 49 tahun ditahan PGA bersama 20 ekor lembu yang disyaki diseludup dari Thailand di Pasir Mas/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 17 Oktober – Seorang lelaki ditahan selepas membawa 20 ekor lembu yang disyaki diseludup dari Thailand secara haram di Kampung Lubok Kawah, Pasir Mas, malam Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pemindahan ternakan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan; lori dan 20 lembu dirampas.
  • Nilai rampasan dianggarkan RM300,000 termasuk lori RM150,000 dan 20 ekor lembu bernilai RM150,000.
  • Pemandu berusia 49 tahun bekerja setahun, dibayar kira-kira RM150 bagi setiap penghantaran.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu gagal mengemukakan dokumen sah bagi pemindahan ternakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

“Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan dan lori bersama 20 ekor lembu terbabit dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM300,000, termasuk lori bernilai RM150,000 dan 20 ekor lembu yang turut dianggarkan bernilai RM150,000.

Hasil soal siasat mendapati lelaki itu bekerja sebagai pemandu lori selama setahun dengan seorang majikan dan menerima upah kira-kira RM150 bagi setiap penghantaran.

Katanya, lembu itu diambil dari Kampung Tok Rusa sebelum dihantar ke sebuah kandang lembu di Lubok Jong, Pasir Mas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.