Malaysia berpotensi jadi hab protein halal Asia Pasifik

Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan TWM, Farhan Hafetz

KUALA LUMPUR, 24 September – Malaysia berpotensi menjadi hab protein halal serantau melalui kerjasama strategik antara Tradewinds (M) Berhad (TWM) dan Tanmiah Food Company (Tanmiah), dari Arab Saudi yang merangkumi penerokaan pelaburan kilang, pemindahan teknologi serta eksport ke pasaran Asia Pasifik.

RINGKASAN BERITA AI
  • TWM dan Tanmiah akan meneroka pemprosesan lanjut di Malaysia serta kemungkinan pelaburan bersama dalam kemudahan pemprosesan untuk runcit, perkhidmatan makanan dan QSR.
  • Fasa pertama melibatkan import produk ayam dari Arab Saudi, proses dijangka mengambil masa kira-kira setahun sebelum pemasaran.
  • Pembukaan kilang dengan pemindahan teknologi dijangka dalam tiga hingga empat tahun sebagai langkah pengembangan serantau.
  • MoU ditandatangani semasa MIHAS 2026, menggabungkan kepakaran teknikal Tanmiah dan rangkaian pasaran serta perdagangan TWM.

Berasaskan peluang akses pasaran berkenaan, kedua-dua syarikat turut akan meneroka potensi pemprosesan lanjut di Malaysia, termasuk kemungkinan pelaburan bersama dalam sebuah kemudahan pemprosesan yang memenuhi keperluan saluran runcit, perkhidmatan makanan dan restoran perkhidmatan segera.

Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan TWM, Farhan Hafetz berkata, sebagai langkah awal, kedua-dua syarikat akan menilai potensi mengimport produk ayam yang dihasilkan di Arab Saudi ke Malaysia.

“Fasa pertama ialah membawa masuk produk dari Arab Saudi. Fasa kedua ialah pembukaan kilang dengan menggunakan teknologi yang dibawa dari Arab Saudi.

“Untuk membawa masuk produk, prosesnya dijangka mengambil masa kira-kira setahun. Jadi, paling awal pun sekitar penghujung tahun depan, insyaAllah kita boleh mula melihat hasil daripada kerjasama ini,” katanya semasa ditemui selepas Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, di sini.

Kerjasama tersebut turut menggabungkan kepakaran teknikal dan keupayaan pengeluaran ayam bersepadu Tanmiah dengan kehadiran pasaran TWM di Malaysia, rangkaian komersial serta keupayaan perdagangan serantaunya.

“Bagi pembukaan kilang pula, jangka masanya sekitar tiga hingga empat tahun akan datang. Namun, penting untuk ditegaskan bahawa kerjasama ini bukan hanya tertumpu kepada Malaysia, tetapi juga sebagai platform untuk berkembang ke seluruh pasaran Asia Tenggara,” tambahnya.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TWM, Dennis Foo dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Tanmiah Food Company, Samer Alsourani.

Tambahnya lagi, Tanmiah antara pengeluar ayam dan makanan bersepadu terkemuka Arab Saudi yang tersenarai di Bursa Saudi.

Sebelum ini, TWM lebih dikenali dalam produk komoditi seperti beras, gula, tepung, roti dan makanan asas lain dan kerjasama tersebut merupakan langkah pertama syarikat memasuki segmen baharu iaitu pasaran protein.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.